ALOR SETAR – Impian seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser otak tahap empat untuk melihat penguin secara dekat bakal menjadi kenyataan apabila dia bersama keluarganya akan dibawa bercuti ke Pulau Langkawi selama tiga hari bermula Khamis ini.
Nur Umairah Abdul Rahman, 12, yang menghidap kanser jenis medulloblastoma, kini tidak sabar menantikan detik tersebut apabila sering bertanyakan kepada ibunya mengenai perjalanan berkenaan setiap kali bangun dari tidur.
Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar berkata, lawatan Nur Umairah bersama ibu, bapa serta adiknya itu merupakan hasil inisiatif Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat swasta.
Menurutnya, segala persiapan telah diatur rapi bagi memastikan hasrat kanak-kanak itu tercapai termasuk kunjungan ke Underwater World Langkawi untuk melihat penguin dari dekat.
“Apabila kami tanyakan kepada Umairah apa yang mahu dilakukannya di Langkawi, dia menyatakan ingin melihat penguin di depan mata.
“Jadi kita berusaha menunaikan hasrat tersebut dengan membawanya ke Underwater World hasil kerjasama pihak pengurusan destinasi pelancongan itu,” katanya pada Selasa.
Tambah beliau, pihaknya turut mengatur pengalaman pertama buat Nur Umairah dan ibunya yang tidak pernah menaiki bot sebelum ini menerusi aktiviti ‘sunset cruise’, selain melawat beberapa lagi destinasi menarik di pulau berkenaan.
Terdahulu, Mohd Zaidy hadir menyantuni Nur Umairah dan keluarganya di Pasar Raya Besar Mydin, Taman Saga di sini bagi menyampaikan sumbangan pakaian dan barangan kelengkapan sebagai persediaan ke Langkawi.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin.
Sementara itu, ibu Nur Umairah, Noor Shahirah Mohd Fuzi berkata, dia amat terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak yang membantu merealisasikan impian anak sulungnya itu.
“Dia memang tidak sabar untuk ke Langkawi dan sering bertanya mengenainya setiap kali bangun tidur.
“Saya benar-benar berterima kasih kepada Kedah Tourism, Mydin serta semua pihak yang menaja perjalanan ini. Kami tidak sangka diberi perhatian sebegini,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Nur Umairah disahkan menghidap kanser otak tahap empat ketika berusia enam tahun selepas mengalami masalah kesihatan ketika masih belajar di prasekolah.
Sejak itu, kehidupannya banyak dihabiskan dengan menjalani rawatan dan pemeriksaan di hospital dan pernah menyatakan harapan kepada ibunya untuk bercuti ke Langkawi.