'Baru bertemu Sabtu, Ahad dia pergi selamanya' - Rakan kongsi kisah pilu pemergian Amirul

Iklan
Illyasa (empat dari kanan) bersama arwah Amirul (duduk, tengah) dan rakan sekerja yang lain.

KLANG - “Dia tidak pernah berkira tenaga, ringan tulang dan sering mempermudahkan urusan orang lain."

Itu luahan pilu seorang rakan sekerja kepada Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Rakan sekerja mangsa, Illyasa Saipuzzaman berkata, pemergian Amirul bukan sahaja mengejutkan, malah meninggalkan kekosongan besar buat mereka yang sudah lebih sedekad bekerja bersama.

Menurutnya, arwah merupakan seorang yang ringan tulang, peramah dan sentiasa mengukir senyuman.

Iklan

"Kami sudah bekerja bersama kira-kira 11 tahun, dia seorang yang sangat membantu. Jika ada kerja berat atau orang memerlukan bantuan, dia antara yang paling awal tampil.

"Semangat kerja berpasukannya memang tinggi. Dia juga pantas bekerja dan sangat komited,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Illyasa berkata, kali terakhir dia bertemu arwah hanyalah sehari sebelum kejadian.

Menurutnya, mereka sempat meluangkan masa bersama di sebuah taman permainan berhampiran rumah, sekadar berbual santai seperti kebiasaan.

"Hari Sabtu kami jumpa di taman permainan dekat rumah, kami berbual biasa sahaja, tidak lama pun.

"Dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan, semuanya seperti biasa,” katanya dengan nada sebak.

Katanya, arwah juga tidak pernah mengeluh meskipun memikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

"Dia mempunyai tiga orang anak, yang sulung berusia sembilan tahun, kedua tujuh tahun dan bongsu baru dua tahun.

"Dia juga membuat kerja sambilan sebagai penghantar Lalamove pada waktu malam selepas habis kerja di gudang,” katanya.

Tambahnya, kesungguhan Amirul mencari rezeki demi keluarga menjadi antara perkara yang sukar dilupakan.

"Dia memang kuat bekerja. Siang bekerja di gudang, malam menyambung mencari pendapatan lebih untuk anak-anak.

"Sekarang, anak-anaknya kehilangan tempat bergantung,” katanya sayu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pemergian Amirul sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah rakan sekerja.

"Dia bukan sekadar kawan kerja, tetapi seperti keluarga. Kehilangannya memang sangat terasa,” katanya.

Illyasa turut menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap pelaku yang terlibat dalam kejadian ini.

"Pada saya, kejadian ini berpunca daripada sikap dan kecuaian yang nyata iaitu mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

"Saya harap agar hukuman berat dikenakan terhadap individu yang mengakibatkan rakan saya maut dalam kejadian ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Jelasnya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.