BEIRUT - Misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan seorang anggota pengaman terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam satu insiden letupan di selatan negara itu, awal pagi Isnin, lapor Tempo.
Menurut kenyataan rasmi, letupan berpunca daripada projektil yang berlaku pada Ahad malam di salah satu posisi UNIFIL berhampiran Adshit al-Qusayr, dalam daerah Marjayoun.
“Kami masih belum dapat mengenal pasti punca projektil berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar kejadian,” menurut UNIFIL.
Bagaimanapun, laporan Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) mendakwa serangan artileri Israel menyasarkan markas UNIFIL yang menempatkan kontinjen Indonesia di kawasan tersebut.
Setakat ini, identiti anggota yang terkorban masih belum didedahkan, dan tiada pengesahan bahawa mangsa merupakan anggota dari Indonesia.
Dalam pada itu, laporan berkenaan menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap anggota pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta bertentangan dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1701.
Malah, tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang sekiranya terbukti dilakukan dengan sengaja.
Sehingga kini, pihak berkuasa Israel masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. - Agensi