Bangunan lama PDRM dicadang jadi klinik kesihatan baharu di Bidor

Iklan
Klinik kesihatan sedia ada masih beroperasi dengan baik dan dicadang dijadikan pusat hemodialisis selepas klinik baharu siap kelak. Gambar kecil: Sivanesan

IPOH - Penduduk Bidor bakal menikmati kemudahan sebuah klinik kesihatan baharu apabila kerajaan negeri mencadangkan pembangunan fasiliti itu di kawasan bandar berkenaan bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, cadangan tersebut kini sedang dikaji oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas kerajaan bersetuju pembinaan klinik baharu di Bidor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri telah mencadangkan supaya bangunan lama milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bidor dijadikan tapak klinik kesihatan tersebut.

"Bangunan itu merupakan bekas balai polis serta kuarters yang telah lama tidak digunakan selepas balai baharu dipindahkan ke Jalan Sungkai lebih 20 tahun lalu.

Iklan

"Tapak ini sesuai kerana kawasannya mencukupi dan mempunyai ruang parkir yang luas untuk pembangunan sebuah kompleks kesihatan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sivanesan, cadangan itu dibuat selepas tapak asal klinik yang dicadangkan sebelum ini kurang sesuai selain berada di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya urusan tapak dapat dimuktamadkan, projek pembangunan klinik tersebut dijangka dapat dimulakan dalam masa terdekat.

"Dalam tempoh kira-kira lima tahun, kita berharap penduduk Bidor akan dapat menikmati sebuah klinik kesihatan yang lebih moden dan lengkap.

"Klinik kesihatan sedia ada masih beroperasi dengan baik dan berkemungkinan dijadikan pusat hemodialisis atau digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan selepas klinik baharu siap kelak," katanya.