Jangan risau, anak anda baik di IPT: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri. FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA - Kebajikan penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) yang kini masih berada di kolej susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dijaga dengan baik oleh pihak universiti.

Iklan
Iklan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kerajaan memberikan jaminan menanggung keperluan asas mereka dan menyediakan makanan yang mencukupi.

"Penuntut ini sudah lebih 14 hari berada di kolej dan ada ibu bapa yang resah mengenai kedudukan anak mereka. Kerajaan memberikan jaminan bahawa kita akan pastikan kebajikan anak-anak mereka ini dijaga dengan baik.

Iklan

"Jangan ragui usaha kerajaan. Ibu bapa jangan gundah gulana sebaliknya menyerahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang akan menjaga anak anda dengan baik," katanya pada sidang akbar (Non-Health) di sini hari ini.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi juga bersetuju melanjutkan tarikh tutup permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam dan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta setaraf dengannya daripada 7 April kepada 17 April ini.

Iklan

"Ini berita baik buat pelajar kita. Permohonan dalam talian ini turut melibatkan Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej matrikulasi, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA)," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mewakili kerajaan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan sumbangan dalam membantu negara menghadapi Covid-19.

"Hari ini Celcom telah bersetuju menyediakan perkhidmatan telekomunikasi Internet melalui pengedaran kad sim prabayar kepada mereka yang dikuarantin secara percuma.

"Antara kemudahan yang disediakan ialah 1GB data Internet untuk panggilan WhatsApp dan 10GB bagi Facebook dan Instagram bagi memudahkan mereka berhubung dengan keluarga sepanjang tempoh 14 hari kuarantin.

"Kita juga berterima kasih kepada Astro dan Unifi TV kerana memberi akses percuma kepada pengguna sepanjang PKP dilaksanakan," katanya.

Beliau sekali lagi berharap rakyat terus mematuhi setiap arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan supaya bertanggungjawab memastikan kesihatan diri serta keluarga dijaga dengan baik.

"Saya juga berharap pemimpin masyarakat mengambil peranan untuk menjaga komuniti di bawah jagaan masing-masing. Kita harap pemimpin ini memastikan anak buah mereka mematuhi arahan kerajaan untuk memastikan rakyat di bawah kepimpinannya selamat.

"Saya mohon duduk di rumah, tinggal di dalam rumah masing-masing dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan," katanya.