CHIN Hin Jitra Sdn Bhd (CHJ Motors) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM1.5 juta, termasuk hadiah utama sebuah kondominium sempena ulang tahun ke-55 syarikat itu.
Pengerusi LK Foundation, Low Kok Kean berkata, CHJ Motors antara syarikat perintis bawah LK Foundation, ditubuhkan untuk mewujudkan mobiliti mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia, kini menyumbang semula kepada pelanggan menerusi kempen 'Satu Motor, Satu Rumah Impian'.
Menurutnya, kempen yang berlangsung selama 55 minggu bermula 27 Mac 2026 hingga 10 April 2027, sebanyak 55 hadiah mingguan disediakan selain hadiah suku tahunan dan sebuah kondominium di Myra Alam, Selangor.
"Kempen ini antara yang terbesar dilaksanakan bagi menghargai pelanggan...Ia mencerminkan hubungan kukuh syarikat dengan masyarakat serta komitmen berterusan CHJ Motors untuk menyumbang semula kepada komuniti yang telah menyokong selama tempoh lebih lima dekad.
"Bagi kami, motosikal bukan sekadar pengangkutan. Ia adalah sumber rezeki, kenderaan utama hantar anak ke sekolah dan penghubung masa depan lebih baik. Ia membuka ruang kepada kebebasan dan peluang baharu. Ia juga menghubungkan kita, sesama keluarga dan masyarakat," katanya ketika sambutan ulang tahun ke-55 CHJ Motors di Amanjaya Mall di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, dengan 35 cawangan, CHJ Motors telah mencipta nama sebagai pengedar motosikal yang dipercayai di Utara Malaysia.
"Reputasi dan kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan anda semua," katanya.
Menurutnya, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM80 bagi layak menyertai kempen cabutan bertuah ini sama ada melalui pembelian motosikal baharu, servis atau pembaharuan cukai jalan dan insurans.
Katanya, pemenang cabutan mingguan akan diumumkan setiap Khamis 6.30 petang melalui siaran lansung TikTok CHJ Motors manakala keputusan rasmi akan dimuat naik di Facebook setiap Jumaat jam 7 malam di mana cabutan pertama dimulakan pada 2 April 2026.
Jelasnya, CHJ Motors menawarkan kadar faedah serendah 8.68 peratus serta tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun bagi meningkatkan pemilikan motosikal serta membolehkan pelanggan menyertai cabutan sepanjang kempen berlansung.
"Sebanyak 55 hadiah mingguan ditawarkan sepanjang 55 minggu, hadiah suku tahunan pertama iaitu pada Julai 2026 berupa Motosikal Yamaha PG-1 dan hadiah utama berupa satu unit kondominium akan diumumkan 10 April 2027.
"Bermula dengan sebuah pusat servis motosikal kecil di Jitra, CHJ Motors kini mempunyai 35 cawangan merentasi Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak dengan 250 tenaga kerja serta berkhidmat kepada lebih 500,000 pelanggan," katanya.
Menurut beliau, CHJ Motors menawarkan rangkaian jenama motosikal bertaraf dunia termasuk Honda, Yamaha, KTM, Zontes, Vespa dan Modenas.
"Kami menjemput pelanggan baharu dan sedia ada mengunjungi mana-mana daripada 35 cawangan atau melayari www.chj.com.my bagi menyertai kempen Satu Motor, Satu Rumah Impian," katanya.