KLANG – Kehidupan sebagai ibu tunggal bukan mudah, apatah lagi apabila perlu menjaga anak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sepenuhnya, selain membesarkan dua lagi anak yang masih bersekolah.
Itulah realiti yang dilalui Noor Aishah Gupri, 35, dari Meru, di sini yang tabah menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ketua keluarga sejak bercerai pada 2018.
Beliau kini membesarkan tiga anak iaitu Dian Sabrina, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Meru; Dian Maidarah, 10, yang terlantar akibat cerebral palsy, serta anak bongsu, Arif Hilman Mohd Shamsul, 9.
Menurut Noor Aishah, kehidupannya berubah sepenuhnya apabila terpaksa berhenti kerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat di Shah Alam tiga tahun lalu bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak kedua yang kerap keluar masuk hospital.
“Dulu saya bekerja dan pendapatan untuk menyara anak-anak tanpa bantuan.
“Tetapi apabila keadaan anak OKU semakin memerlukan perhatian, saya tiada pilihan selain berhenti kerja,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha mendapatkan pengasuh tidak berhasil kerana kebanyakan tidak sanggup menjaga anak terlantar yang berisiko mengalami sawan, manakala pusat jagaan pula mengenakan kos tinggi sehingga mencecah lebih RM1,500 sebulan.
Sejak itu, Noor Aishah mengambil inisiatif mencari rezeki dengan menjual kuih, menerima tempahan makanan serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi menampung perbelanjaan harian.
“Memang saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk anak terlantar serta bantuan asnaf daripada Zakat Selangor dalam bentuk barangan keperluan seperti makanan, lampin pakai buang dan susu.
“Tetapi, bantuan ini tidak mencukupi, jadi saya perlu berusaha sendiri untuk menampung kehidupan kami,” ujarnya.