Seramai 4,933 orang dikuarantin sejak PKP dilaksanakan

Iklan
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan memaklumkan seramai 4,933 orang rakyat Malaysia telah dikuarantin di seluruh negara sejak 19 Mac lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,188 orang dikuarantin semalam dan 711 daripadanya merupakan mereka yang pulang dari luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan
Iklan

"Saya juga ingin maklumkan bahawa sehingga kini juga sebanyak 90 pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan telah dibuka. Kesemua pusat kuarantin kita boleh menampung seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa," katanya pada sidang media (Non-Health) di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan kenyataan beliau semalam berhubung rakyat Malaysia daripada Sabah dan Sarawak yang pulang daripada luar negara dan transit di mana-mana lapangan terbang di Semenanjung, mereka boleh meneruskan perjalanan serta akan dikuarantin di negeri masing-masing.

Iklan

"Namun begitu, terdapat penumpang yang tidak mempunyai penerbangan terus pulang atau belum mempunyai tiket pulang ke Sabah dan Sarawak serta perlu berada di Semenanjung untuk satu jangka masa. Mereka ini pastinya akan keluar daripada kawasan lapangan terbang.

"Untuk itu, mereka juga akan dikuarantin di pusat-pusat kuarantin di Kuala Lumpur, Selangor atau kawasan-kawasan terdekat," katanya.

Iklan

Mengulas mengenai dakwaan mengatakan penumpang yang pulang daripada luar negara dibawa menggunakan trak penjara atau bas penjara ke pusat kuarantin, Ismail Sabri berkata, berita tersebut tidak benar kerana semua penumpang pesawat menaiki bas yang disediakan oleh kerajaan atau Agensi Pengurusan Benca Negara (Nadma).

"Ini bermaka berita-berita palsu terus berlegar dalam negara kita walaupun kita sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19. Sepatutnya semua berusaha menenangkan rakyat dan membantu kerajaan mengatasi masalah yang dihadapi tetapi masih ramai yang menyebarkan berita palsu.

"Ia sama seperti beberapa hari lepas di mana ada gambar pusat kuarantin di Sabah yang dalam keadaan buruk tetapi ia telah dinafikan oleh kerajaan negeri," katanya.

Jelasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebar berita palsu ini dan ia dibuktikan menerusi 184 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kes telah dibuka kertas siasatan dan kini didakwa di mahkamah. Jadi saya meminta kepada rakyat untuk sama-sama membantu kerajaan menyelesaikan isu Covid-19 dan tidak mengeruhkan keadaan serta menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

"Kerajaan serius menangani penyebaran berita palsu ini. Tidak akan ada sesiapa terlepas daripada undang-undang yang akan diambil," katanya.