[DIKEMAS KINI] KETIKA automasi bangunan dan sistem tenaga pintar semakin menjadi keperluan dalam pembangunan moden, GreenControls Technology Sdn Bhd tampil sebagai antara pemain tempatan yang konsisten memacu teknologi hijau berteraskan pendidikan, kelestarian dan pembangunan bakat tempatan.
Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad dalam bidang automasi, syarikat itu bukan sekadar penyedia sistem bangunan pintar, sebaliknya membina ekosistem menyeluruh merangkumi pembuatan peranti, latihan kemahiran serta sumbangan sosial kepada masyarakat.
Pengarah Urusannya, Siew Peng Wah berkata, perjalanan syarikat induk GreenControls, Seikou Systec Sdn Bhd bermula kira-kira 20 tahun lalu melalui pembangunan sebuah unit rumah pintar ketika konsep tersebut masih baharu di Malaysia.
“Daripada projek kecil itu, kami berkembang ke sektor pembangunan perumahan bersama pemaju seperti Tropicana Corp dan Mah Sing Group , sebelum terlibat dalam projek bangunan hijau pertama di Pusat Tenaga Malaysia, kini dikenali sebagai GreenTech Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, keperluan terhadap tenaga mahir tempatan menjadi titik penting dalam evolusi syarikat. KNX Skills Development Centre Sdn Bhd ditubuhkan pada 2011 sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pusat latihan itu memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian formal untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang automasi sebelum diserap ke dalam industri.
“Kami bukan sekadar menyiapkan projek, tetapi mahu membina tenaga kerja berkemahiran yang boleh menyokong industri untuk jangka panjang,” jelasnya.
Usaha tersebut membuka peluang kepada penglibatan syarikat di peringkat antarabangsa, termasuk kerjasama dengan WorldSkills pada 2013 yang turut membawa pendedahan latihan di Jerman.
Menurut Peng Wah, pengalaman itu membuktikan bahawa bakat tempatan mampu bersaing di peringkat global, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Namun, cabaran kos peralatan automasi dari Eropah yang tinggi mendorong syarikat membangunkan jenama sendiri, GreenControls, yang kemudiannya diperakui oleh KNX Association di Belgium.
Langkah itu bukan sahaja membolehkan penggunaan produk tempatan dalam projek automasi, malah membantu menurunkan kos bagi institusi pendidikan yang memerlukan peralatan latihan.
Kini, GreenControls bukan sahaja bertindak sebagai integrator sistem, tetapi juga pengilang peranti automasi untuk bangunan dan rumah pintar, termasuk pembangunan kit latihan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Di peringkat serantau, syarikat yang didaftarkan pada 2017 itu berperanan sebagai syarikat induk kepada beberapa subsidiari di Indonesia, Vietnam dan Thailand, selain rangkaian pengedar di pelbagai negara.
Model perniagaannya menggabungkan pelaksanaan projek dan pendidikan, dengan tujuan memperkenalkan teknologi automasi kepada pelajar sambil menyediakan laluan kerjaya dalam industri.
“Model ini mampan kerana bukan sahaja menyokong keperluan projek semasa, tetapi turut membina tenaga kerja masa depan,” katanya.
Di Malaysia, fokus syarikat kini beralih kepada sektor komersial berikutan persaingan yang semakin sengit dalam segmen perumahan.
GreenControls turut terlibat dalam pelbagai projek automasi bangunan berskala besar termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur seperti Menara HSBC, The Exchange TRX, Mitsui Shopping Park LaLaport BBCC, Merdeka 118 serta beberapa hotel utama seperti Imperial Lexis, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, setiap projek automasi dianggarkan bernilai antara RM3 juta hingga RM4 juta bergantung kepada skop pelaksanaan.
Tambahnya, peranan automasi bangunan kini telah berkembang daripada sekadar kawalan lampu dan pendingin hawa kepada pengurusan tenaga berasaskan data.
“Sistem ini membolehkan penjimatan tenaga melalui pelarasan suhu dan operasi automatik apabila ruang tidak digunakan, dengan potensi penjimatan sekitar 10 hingga 15 peratus bagi setiap satu darjah perubahan suhu,” katanya.
Selain itu, integrasi teknologi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan analitik data membolehkan bangunan beroperasi dengan lebih cekap serta menyokong agenda kelestarian dan pengurangan karbon.
Sehingga kini, syarikat telah melaksanakan lebih 100 projek automasi bangunan yang memanfaatkan teknologi tersebut.
Menurut Peng Wah, peningkatan kos tenaga serta penarikan subsidi elektrik dijangka mempercepatkan penggunaan automasi pintar dalam kalangan pemilik bangunan.
“Dalam masa sama, kesedaran generasi muda terhadap perubahan iklim turut mendorong permintaan terhadap bangunan lebih mampan,” ujarnya.
Pendekatan berterusan syarikat dalam inovasi dan pembangunan bakat turut membuahkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk KNX Awards 2024 menerusi projek seperti PNB 118 dan Hotel Imperial Lexis, Kuala Lumpur.
Di peringkat tempatan, Seikou Systec turut mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records bagi jumlah tutor bertauliah KNX terbanyak serta bilangan pelajar TVET paling ramai memprogram peranti KNX.
Dari segi prestasi kewangan, syarikat merekodkan perolehan jualan sekitar RM10 juta tahun lalu, meskipun bermula dengan modal permulaan kira-kira RM5,000.
Menurut Peng Wah, kelebihan kompetitif utama GreenControls terletak pada pendekatan berasaskan pendidikan, dengan syarikat aktif memperkenalkan teknologi automasi kepada pelajar melalui integrasi dalam silibus pembelajaran di Malaysia dan benua ASEAN.
Setiap tahun, syarikat menerima antara 15 hingga 20 pelajar latihan industri daripada institusi TVET seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, politeknik dan kolej komuniti.
“Mereka bukan sekadar membantu operasi, tetapi dilatih menggunakan sistem sebenar dan berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa sebelum memasuki pasaran kerja,” katanya.
Beliau berpandangan, sasaran Net Zero negara menjelang 2030 akan menjadi pemacu utama pertumbuhan industri automasi dan bangunan hijau.
Inisiatif kerajaan seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menawarkan insentif kepada pemaju turut mempercepatkan penggunaan teknologi automasi dalam pembangunan moden.
“Trend ini sudah jelas apabila kebanyakan projek semasa mengintegrasikan elemen kecekapan tenaga dan automasi,” katanya.
Dalam jangka panjang, GreenControls menyasarkan untuk terus mengembangkan inovasi serta membawa produk buatan Malaysia ke pasaran global.
“Ketika ini kami sudah menembusi pasaran Asia dan berharap dapat kembali ke pasaran Eropah dalam beberapa tahun akan datang.
“Walaupun masih di peringkat awal berbanding pemain global, kami yakin jenama tempatan ini mampu berkembang sebagai penyedia penyelesaian automasi dan bangunan hijau yang kompetitif,” katanya.