Enggan keluar wad selepas lima bulan discaj, pesakit disaman hospital

Iklan
Tallahassee Memorial Healthcare memfailkan saman terhadap seorang pesakit yang didakwa enggan meninggalkan wad walaupun telah discaj sejak Oktober tahun lalu

TALLAHASSEE – Sebuah hospital di Florida memfailkan saman terhadap seorang pesakit yang didakwa enggan meninggalkan wad walaupun telah discaj sejak Oktober tahun lalu, lapor AP News.

Tallahassee Memorial Healthcare dalam tindakan undang-undang itu memohon perintah mahkamah supaya wanita berkenaan mengosongkan bilik hospital, selain membenarkan bantuan pihak syerif daerah sekiranya perlu.

Iklan
Iklan

Menurut dokumen mahkamah, pesakit tersebut masih berada di Bilik 373 meskipun doktor telah mengesahkan beliau tidak lagi memerlukan rawatan akut.

Hospital mendakwa, situasi itu menjejaskan operasi apabila katil berkenaan tidak dapat digunakan oleh pesakit lain yang memerlukan rawatan segera.

Iklan

“Penginapan berterusan defendan menghalang penggunaan katil untuk pesakit yang memerlukan rawatan akut,” menurut kenyataan dalam saman tersebut.

Rekod mahkamah menunjukkan wanita itu dimasukkan untuk rawatan sebelum arahan discaj rasmi dikeluarkan pada 6 Oktober lalu.

Iklan

Pihak hospital turut memaklumkan usaha berulang kali telah dilakukan bagi menyelaras proses keluar, termasuk berhubung dengan ahli keluarga serta menawarkan bantuan pengangkutan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, wanita itu didakwa masih enggan meninggalkan premis hospital sehingga kini.

Peguam mewakili hospital enggan mengulas lanjut, manakala jurucakap memaklumkan pihaknya tidak dapat memberikan kenyataan terperinci kerana kes masih dalam prosiding.

Saman itu tidak memperincikan jenis rawatan diterima, jumlah bil hospital atau sebab pesakit berkenaan terus berada di wad lebih lima bulan selepas discaj.

Difahamkan, wanita tersebut tidak mempunyai peguam dan bertindak mewakili diri sendiri dalam kes berkenaan.

Percubaan menghubunginya melalui nombor telefon yang dikaitkan gagal, manakala panggilan ke bilik hospital juga tidak dijawab.

Perbicaraan secara dalam talian dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.

Di bawah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat, hospital yang menerima dana Medicare diwajibkan memberi rawatan kecemasan tanpa mengira kemampuan pesakit.

Namun, pesakit boleh dibenarkan keluar selepas doktor mengesahkan rawatan lanjut boleh diteruskan secara pesakit luar dengan pelan susulan yang sesuai.