'Penurunan harga emas luar biasa'

Iklan
Amaluddin menunjukkan koleksi barangan kemas yang terdapat di kedainya kepada Khairun Nisa sewaktu tinjauan Sinar Harian pada Selasa.

IPOH - Penurunan harga emas kali ini disifatkan luar biasa apabila berlaku dalam tempoh yang sangat singkat, sekali gus mencetuskan lonjakan kehadiran pelanggan ke premis jualan emas sekitar bandar raya ini.

Pengarah Urusan DS Jewellers, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail berkata, situasi itu berbeza berbanding harga emas melonjak melebihi RM700 sebelum ini yang mana menyaksikan aktiviti jual beli berada pada tahap perlahan.

Iklan
Iklan

"Dulu masa harga tinggi, perniagaan agak perlahan. Tetapi sekarang bila harga turun, kedai jadi penuh semula.

"Tambahan pula musim cuti, ramai pelanggan dari luar datang membeli. Kita harap harga dapat terus turun supaya rakyat boleh membeli dan pusingan perniagaan berjalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Yang Dipertua Persatuan Usahawan Kedai-kedai Emas Negeri Perak itu memaklumkan, harga emas yang berada pada sekitar RM520 mampu turun kepada RM500 dalam masa beberapa minit sahaja.

Orang ramai mengambil peluang hadir ke premis jualan emas susulan penurunan harga emas ketika tinjauan Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

“Penurunan ini memang ketara. Dalam tempoh temu bual ini sahaja, harga sudah turun RM20. Ia menunjukkan kejatuhan yang agak luar biasa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa premis mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli emas pada harga lebih rendah, malah ada yang membuat keputusan segera selepas memantau harga semasa.

Seorang pembeli, M Mahadevi, 38, mengakui ambil keputusan terus ke kedai emas selepas mendapati harga semasa jauh lebih rendah berbanding sebelum ini.

“Harga emas pernah cecah sekitar RM760. Tahun lepas saya beli sekitar RM570, jadi hari ini memang nampak jauh lebih murah.

“Kami biasanya semak harga dalam talian dahulu. Bila nampak harga turun, terus datang dan ambil peluang untuk beli,” katanya.

Sementara itu, Khairun Nisa Rozali, 30, menyifatkan situasi semasa sebagai masa terbaik untuk membeli emas sama ada sebagai perhiasan atau pelaburan.

"Emas jarang turun. Jadi bila harga tengah turun macam sekarang, lebih baik beli terus daripada tunggu yang belum tentu," ujarnya.