Tiada kompromi walaupun raya, Imigresen terus pantau warga asing

Iklan
Lokman (dua dari kanan) ketika mengetuai inspektorat penguatkuasaan sebagai langkah pemantauan warga asing di lokasi tumpuan di ibu negara. Foto JIM

SHAH ALAM - Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Aidilfitri merupakan langkah berterusan bagi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli menegaskan, setiap tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah berteraskan tanggungjawab.

Iklan
Iklan

Jelasnya, operasi yang dijalankan JIM tidak bersifat bermusim atau selektif terhadap waktu tertentu, termasuk musim perayaan seperti Aidilfitri.

"Sebaliknya, ia dilaksanakan secara berterusan dan profesional, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Iklan

"Kita menghormati keperluan semua pihak untuk menyambut perayaan dalam suasana harmoni. Namun dalam masa yang sama, prinsip 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' perlu dipatuhi oleh semua, termasuk warga asing yang berada di negara ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim yang mengkritik JIM kerana menjalankan operasi pemeriksaan warga asing dalam tempoh perayaan Aidilfitri dengan mempersoalkan sensitiviti waktu pelaksanaannya.

Iklan

Mengulas lanjut, Lokman menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap warga asing yang memiliki dokumen sah dan mematuhi undang-undang imigresen.

"Penguatkuasaan hanya tertumpu kepada mereka yang melanggar peraturan," ujarnya.

Kata beliau, pelaksanaan operasi penguatkuasaan dalam tempoh cuti perayaan merupakan satu keperluan, bukan pilihan.

"Keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi, walau dalam apa jua keadaan termasuk musim perayaan.

"Sekiranya penguatkuasaan dilonggarkan, terdapat risiko pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melakukan pelanggaran undang-undang, termasuk aktiviti melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI)," ujarnya.

Menurutnya, JIM akan terus melaksanakan operasi secara konsisten, berhemah dan berintegriti tanpa mengira masa atau keadaan bagi memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara.

"Pendekatan ini bukan bertujuan menimbulkan ketidakselesaan, tetapi sebagai langkah pencegahan demi kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan," katanya.

Mengenai Op Pemantauan di ibu negara sejak dilaksanakan bermula 20 Mac lepas, kata Lokman, kira-kira 1,500 warga asing telah diperiksa sebagai langkah awal dalam memastikan warga asing mematuhi undang-undang imigresen.

"Jumlah ini direkodkan dalam tempoh empat hari setakat semalam (Isnin) oleh JIM Putrajaya dan Kuala Lumpur," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, Op Omnipresence dilaksanakan JIM Selangor pada Isnin di lima lokasi sekitar Shah Alam.

"Lokasi pemeriksaan ialah Taman Sri Muda, Dataran Otomobil, Terminal 17 Shah Alam dan Padang Jawa.

"Operasi bermula jam 10 pagi telah memeriksa 137 warga asing, tiada tangkapan dilaksanakan," ujarnya.