‘Cerita separuh jalan’ punca salah faham isu harga minyak - Noor Azlan

Iklan
Kenyataan Noor Azlan dikongsi di laman Facebooknya pada Selasa.

SHAH ALAM - Persepsi bahawa Malaysia sebagai pengeluar minyak wajar mengekalkan harga bahan api pada kadar murah disifatkan sebagai “cerita separuh jalan” yang telah lama membentuk salah faham dalam kalangan rakyat.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, hujah bahawa harga minyak di pam mesti kekal rendah tanpa mengira harga pasaran global telah lama dijadikan alasan, sama ada oleh kerajaan mahupun rakyat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dalam pemikiran umum, apabila harga minyak global meningkat, kerajaan dianggap wajib menanggung perbezaan melalui peningkatan subsidi, lebih-lebih lagi kerana Malaysia dilihat sebagai negara pengeluar minyak dan memiliki Petronas.

“Itu umumnya rumus rakyat. Sudah bertahun didendang dengan cerita separuh jalan. Malaysia kan pengeluar minyak? Harga minyak global melonjak naik, tentulah negara mendapat hasil yang tinggi.

Iklan

“Kan Petronas itu milik kerajaan? Pulangkan hasil yang meningkat ini kepada rakyat, tingkatkan subsidi,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, realiti sebenar industri minyak global jauh lebih kompleks, apatah lagi dalam situasi geopolitik semasa yang tidak menentu.

Iklan

Ujarnya, konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS)/Israel-Iran telah mengganggu bekalan minyak dunia dengan kira-kira 30 peratus bekalan global melalui Selat Hormuz, yang sebahagiannya dikuasai Iran.

Situasi itu menyebabkan harga minyak mentah melonjak daripada sekitar AS$70 setong kepada setinggi AS$112 setong dalam tempoh beberapa minggu, sebelum berada pada paras sekitar AS$104 setong ketika ini.

“Penilaian dan persediaan yang rapi amat penting kerana kenaikan harga minyak boleh menjejaskan pelbagai aspek ekonomi dunia termasuk kos pengangkutan, pengeluaran, makanan, kadar inflasi serta dasar monetari.

“Ekonomi Malaysia yang bersifat terbuka dan kebergantungan tinggi kepada ekonomi global mesti segera bersedia dengan kemungkinan ini,” ujarnya.

Noor Azlan berkata, hampir semua negara di dunia sama ada pengeluar atau bukan pengeluar minyak telah menaikkan harga bahan api di pam, namun Malaysia masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter.

Malah, ujarnya, harga itu lebih rendah berbanding negara pengeluar minyak utama dunia seperti Arab Saudi yang mencatatkan sekitar RM2.62 seliter.

“Malaysia mahu kekalkan harga minyak sedia ada dan diraikan sebagai antara yang terendah di dunia. Namun kita perlu sedar kos di sebaliknya,” ujarnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa subsidi minyak melonjak daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh seminggu sahaja.

“Anggaran kasar saya, hampir bersamaan dengan pembinaan enam hospital 300 katil. Itu baru seminggu,” ujarnya.

Menurut beliau, untuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter sepanjang tahun, subsidi dianggarkan mencecah RM24 bilion, bersamaan hampir pembinaan 48 hospital.

“Subsidi bukan percuma, turun dari langit. Subsidi adalah perbelanjaan operasi yang hangus setiap kali dibelanjakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak, negara bukanlah pemain utama dunia dan hanya bertindak sebagai ‘price taker’ dalam pasaran global.

Katanya, rizab minyak Malaysia sekitar 2.7 bilion tong yang hanya mampu bertahan kira-kira 12 tahun, berbanding Arab Saudi dengan 267 bilion tong.

Selain itu, pengeluaran minyak negara sekitar 570,000 tong sehari, namun penggunaan mencecah 712,000 tong sehari menyebabkan Malaysia menjadi pengimport bersih minyak.

“Cukup sekadar memahami kita pengeluar minyak tetapi secara bersih, kita adalah pengimport bersih (net importer). Dalam dunia minyak dunia, Malaysia hanya sekelumit sahaja,” ujarnya.

Info grafik dikongsi Noor Azlan di laman Facebooknya pada Selasa.

Noor Azlan turut menegaskan bahawa keuntungan Petronas tidak lagi seperti dahulu apabila berdepan cabaran besar dan menyusut sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah satu kesilapan untuk terus menekan kerajaan mengekalkan harga minyak pada tahap yang “sangat rendah” berbanding harga pasaran semasa.

“Tiada guna menjadi juara antara harga minyak terendah dunia jika ia merugikan negara. Kita mengorbankan pembangunan jangka panjang negara,” ujarnya.

Beliau mencadangkan kerajaan menyemak semula kaedah penentuan harga minyak di pam dengan mengekalkan subsidi secara bersasar mengikut tahap pendapatan, menggunakan pangkalan data seperti PADU, BUDI, SARA dan STR.

“Sudahlah dengan cerita Malaysia pengeluar minyak. Sudahlah dengan cerita kita ada Petronas. Ini semua cerita separuh jalan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada kerajaan untuk membuat keputusan terbaik dalam mendepani krisis global ketika ini.

“Senang sama senang, susah sama susah. Kita imbangkan keperluan jangka pendek dengan kepentingan pembangunan jangka panjang negara.

“Ini bukan salah kerajaan. Dunia berhadapan dengan krisis geopolitik yang getir. Semua, kerajaan, industri dan rakyat mesti bersama mengharungi krisis ini. Bukan masa menuding jari,” tambahnya.