SIAPA yang tidak mengenali jenama Christy Ng? Bermula daripada sebuah perniagaan kecil di ruang tamu, jenama ini kini berdiri megah sebagai antara nama yang semakin mendominasi industri fesyen tempatan dan serantau.
Namun di sebalik kejayaan itu, tersimpan kisah perjuangan yang penuh jatuh bangun, sebuah perjalanan yang dibentuk oleh keberanian, pengorbanan dan impian yang tidak pernah padam.
Diasaskan oleh Christy Ng, anak jati Kluang, Johor, kisah ini tidak bermula dengan kemewahan.
Beliau dilahirkan dalam keluarga sederhana, bapanya bekerja sebagai tukang cuci pendingin hawa manakala ibunya pula seorang suri rumah.
Kehidupan yang serba sederhana itu mengajarnya erti menghargai setiap ringgit.
Perasaan menginginkan sesuatu tetapi terpaksa menahan diri kerana kekangan kewangan menjadi pengalaman yang cukup dekat dalam dirinya.
Dari situlah lahir satu prinsip yang kekal menjadi tunjang jenamanya hingga hari ini, iaitu fesyen yang cantik, berkualiti dan mampu dimiliki.
Mengimbas kembali, segalanya bermula sekitar tahun 2012 dengan modal kira-kira RM10,000.
Tanpa pelan perniagaan yang tersusun dan tanpa mentor yang membimbing, Christy hanya berbekalkan keberanian serta keinginan untuk mencuba.
Bermula dengan penghasilan kasut wanita secara kecil-kecilan dari rumah, jenama ini perlahan-lahan mula menambat hati pelanggan dan membina kepercayaan dalam pasaran.
Seiring peningkatan permintaan serta sokongan yang memberangsangkan, perniagaan ini kemudiannya berevolusi dengan memperluaskan penawaran kepada penghasilan beg tangan wanita sekali gus mengukuhkan identitinya dalam industri fesyen tempatan.
Apa yang membezakan, setiap rekaan bukan sekadar produk tetapi membawa sentuhan peribadi yang dekat dengan kehendak wanita moden, praktikal, bergaya dan mampu milik.
Titik perubahan besar hadir pada tahun 2016 apabila butik pertama dibuka di 1 Utama.
Langkah berani itu menjadi pemangkin kepada perkembangan lebih agresif, sehingga kini jenama tersebut memiliki lebih 10 cawangan di seluruh negara.
Pada masa sama, kehadiran di platform e-dagang mempercepatkan lagi pertumbuhan perniagaan, membuka akses kepada pasaran yang lebih luas dan menjadikan jenama ini semakin dikenali di luar Malaysia.
Namun perjalanan itu tidak pernah sunyi daripada cabaran.
Berkongsi kisah dengan Sinar Bisnes, Christy mengakui melalui pelbagai fasa ‘trial and error’ yang bukan sahaja memakan masa malah melibatkan kerugian kewangan.
Menurutnya, selain kekangan modal, cabaran mendapatkan tenaga kerja yang benar-benar komited serta keperluan memahami selera pasaran yang sentiasa berubah menjadi antara ujian terbesar.
Tetapi latar belakang kehidupan yang sederhana menjadikan dirinya seorang yang cekal.
Malah, semangat keusahawanan itu telah berputik sejak usia muda apabila beliau menjual bunga di sekitar stesen LRT.
Pengalaman tersebut bukan sahaja membentuk keyakinan diri malah mengasah kemahiran berkomunikasi dan keberanian berinteraksi, asas penting dalam dunia perniagaan.
Nilai dan keberanian itulah yang akhirnya mendorongnya membuat keputusan besar dalam hidup apabila meninggalkan kerjayanya di sebuah syarikat farmaseutikal demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan sendiri.
Keputusan itu bukan sahaja berisiko, malah menuntut pengorbanan besar.
Namun, itulah titik perubahan yang mengubah haluan hidupnya daripada seorang pekerja kepada usahawan yang membina empayar sendiri dari bawah.
Pada fasa awal, beliau memilih untuk bergantung sepenuhnya kepada modal sendiri kerana berasa segan untuk membuat pinjaman.
Ekosistem kompetitif
Hakikatnya, dalam ekosistem perniagaan yang semakin kompetitif, pendekatan tersebut mempunyai hadnya.
Kelajuan bertindak dan keupayaan merebut peluang menjadi penentu utama antara berkembang atau sekadar bertahan.
Dari situlah muncul kesedaran bahawa untuk membawa perniagaan ke tahap seterusnya, keberanian mengambil risiko adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
Hari ini, beliau melihat pembiayaan luar seperti pinjaman bank sebagai antara strategi penting untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.
“Dulu saya hanya guna duit sendiri. Tapi sebenarnya dalam perniagaan kita perlu pandai meminjam untuk berkembang.
“Kalau tidak berani pinjam, memang susah mahu besarkan bisnes,” katanya.
Kini, selepas lebih 14 tahun dalam dunia perniagaan, jenama Christy Ng bukan sahaja kukuh di pasaran tempatan malah semakin agresif menembusi peringkat antarabangsa.
Indonesia muncul sebagai antara pasaran utama dengan lima cawangan setakat ini manakala Filipina menjadi destinasi strategik baharu melalui pembukaan pop-up store sebelum butik rasmi diperkenalkan.
Pendekatan pop-up store yang digunakan bukan sekadar strategi sementara, tetapi langkah bijak untuk membina kehadiran jenama di lokasi premium yang sukar diperoleh.
Ia juga memberi ruang untuk memahami tingkah laku pengguna sebelum membuka cawangan tetap, satu pendekatan yang fleksibel dan praktikal dalam landskap runcit moden.
Di sebalik pertumbuhan ini, satu perkara yang tidak pernah berubah ialah prinsip asas jenama tersebut iaitu keseimbangan antara kualiti dan harga.
“Produk berkualiti tinggi tidak bermakna jika harganya terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki.
“Sebab itu saya memilih pendekatan harga berjiwa rakyat supaya pelanggan berasa seronok ketika membeli, bukannya terbeban,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk mengubah persepsi terhadap jenama tempatan.
Bagi Christy, sudah tiba masanya jenama lokal berdiri setanding dengan jenama antarabangsa.
Persepsi bahawa produk luar negara lebih baik perlu dicabar melalui kualiti, reka bentuk serta strategi pemasaran yang lebih berani dan relevan.
Sehubungan itu, pendedahan di pasaran antarabangsa dilihat sebagai langkah penting untuk membina kredibiliti dan kepercayaan pengguna.
“Jenama tempatan tidak boleh terlalu selesa di pasaran domestik semata-mata. Kita perlu berani keluar dan bersaing di pentas global,” katanya.
Dalam pada itu,kejayaan jenama ini juga tidak terlepas daripada strategi pemasaran yang kreatif dan dekat dengan generasi masa kini.
Penggunaan media sosial, khususnya kandungan video yang santai dan autentik, berjaya mendekatkan jenama ini dengan audiens muda.
Kolaborasi bersama Bengap Brothers dengan kandungan berunsur humor misalnya telah menjadikan jenama ini lebih mudah diterima dan terus relevan dalam pasaran.
Malah, pendekatan kreatif ini turut meraih pengiktirafan di peringkat industri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Digital Creator (Entertainment) Tergempak 2025 di majlis Gempak Most Wanted Award 2025 sekali gus meningkatkan lagi visibiliti dan daya tarikan jenama tersebut.
Namun di sebalik semua pencapaian membanggakan itu, Christy tidak pernah melihat kejayaan ini sebagai usaha individu semata-mata.
Beliau mengakui bahawa kekuatan sebenar jenama ini terletak pada pasukan yang setia dan percaya kepada visi yang dibawa.
Sokongan daripada pasukan yang berkembang bersama sejak awal menjadi antara faktor penting yang memastikan jenama ini terus kukuh dan berdaya saing.
Melangkah ke hadapan, misi besar Christy Ng bukan sekadar menjadi jaguh tempatan, tetapi jaguh dunia.
“Lanskap perniagaan di negara ini sebenarnya sangat kondusif untuk usahawan berkembang.
"Kita hanya perlu berani merebut peluang yang ada,” katanya.
Ujarnya, aspirasi tersebut bukan sekadar retorik, sebaliknya disokong dengan strategi pengembangan yang tersusun serta komitmen berterusan untuk meningkatkan kualiti produk dan pengalaman pelanggan.
Daripada ruang tamu kecil kepada pasaran antarabangsa, kisah Christy Ng membuktikan bahawa kejayaan tidak datang secara kebetulan.
Ia dibina melalui keberanian untuk bermula, ketekunan untuk bertahan dan keyakinan untuk terus melangkah walaupun berdepan ketidakpastian.
Dan mungkin, di situlah terletaknya kekuatan sebenar jenama ini, bukan sekadar pada produk yang dihasilkan tetapi pada cerita di sebaliknya.
Sebuah kisah tentang impian yang bermula dari bawah, namun berani untuk sampai ke puncak dunia.