LANGKAWI – Jadual perkhidmatan feri ke pulau peranginan ini akan dikurangkan daripada lima kepada tiga perjalanan sehari selepas Hari Raya Aidilfitri susulan kenaikan mendadak harga diesel industri yang meningkat melebihi 100 peratus.
Langkah tersebut diambil oleh pengusaha feri sebagai usaha mengawal kos operasi yang semakin meningkat dan kini dilihat tidak lagi mampan untuk mengekalkan jadual sedia ada.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Dr. Baharin Baharom berkata, peningkatan kos bahan api memberi tekanan besar kepada pengusaha sehingga memaksa penyusunan semula jadual operasi.
Menurutnya, kadar tambang feri di Langkawi ketika ini hanya sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika, jauh lebih rendah berbanding kadar yang dikenakan di pulau-pulau utama lain di Semenanjung Malaysia.
“Sebagai perbandingan, pengusaha feri di Pulau Tioman dan Pulau Pangkor mengenakan kadar sehingga RM2.00 bagi setiap batu nautika, namun di Langkawi kadar masih rendah walaupun kos operasi meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keperluan penyelarasan semula operasi susulan peningkatan kos yang semakin membebankan industri berkenaan.
Dalam perkembangan sama, satu perbincangan telah diadakan pada 17 Mac lalu antara pengusaha feri dari Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Perbincangan tersebut bertujuan meneliti cadangan pelaksanaan cas tambahan atau surcharge bagi menampung kenaikan kos bahan api, namun keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Baharin menjelaskan bahawa inisiatif subsidi diesel sedia ada dilihat tidak memberikan kelegaan ketara kepada pengusaha feri di Langkawi.
“Ini kerana harga diesel industri di Langkawi adalah lebih tinggi berbanding di pulau-pulau utama lain di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, keadaan tersebut memberi tekanan berterusan kepada pengusaha yang perlu memastikan operasi berjalan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu mekanisme penyelesaian yang lebih adil dan mampan bagi menyokong kelangsungan industri pengangkutan feri.
Tambahnya, langkah itu juga penting bagi memastikan sektor pelancongan di Langkawi tidak terjejas, khususnya dalam menghadapi peningkatan jumlah pengunjung selepas musim perayaan.
“Walaupun berdepan cabaran kos, kami komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, namun kelangsungan operasi perlu diberi keutamaan,” katanya.