SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta memperketatkan penguatkuasaan terhadap syarikat pinjaman wang berlesen yang didapati gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN), Jannahtul Ain Jaafar berkata, gesaan itu dibuat selepas menerima aduan terhadap sebuah syarikat kredit komuniti yang menuntut bayaran melebihi faedah maksimum yang dibenarkan daripada peminjam.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kepada seorang wanita yang dipenjarakan selepas membuat pinjaman sebanyak RM5,000, 15 tahun lalu.
"Pengadu yang hilang pekerjaan dikenakan caj dan kadar faedah melampau selepas mempunyai beberapa tunggakan namun, dalam tempoh itu, dia mendakwa telah membuat pembayaran sehingga puluhan ribu ringgit.
"Disebabkan itu, pengadu merasakan tidak perlu membuat pembayaran lagi kerana sudah lebih daripada kadar faedah iaitu 18 peratus setahun yang ditetapkan oleh KPKT," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jannahtul Ain berkata, pengadu bagaimanapun terus didatangi oleh pihak pengutip hutang yang menghantar notis tuntutan mahkamah dan seterusnya dikenakan tindakan undang-undang.
"Sepanjang tempoh dipenjarakan, pihak pengadu telah membayar sebanyak RM15,300 kepada syarikat tersebut sebelum diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM27,000 yang menyebabkan dia mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
"Kami di PWRN membuat rundingan bersama syarikat berkenaan dan akhirnya memutuskan wanita terbabit tidak perlu membuat sebarang bayaran tambahan," katanya.
Berdasarkan kes itu, beliau meminta KPKT memantau syarikat pinjaman wang berlesen dan diharapkan menjadi iktibar kepada masyarakat untuk berhati-hati membuat sebarang pinjaman yang boleh menjerat kehidupan.