MALAM sebelum Aidilfitri dahulu selalu bermula dengan cahaya yang tidak begitu terang.
Lampu gasolin cap Butterfly tergantung di beranda rumah, menyala dengan bunyi kecil yang berdesir halus. Cahayanya kekuningan, tidak sekata, tetapi cukup untuk menerangi sedikit halaman tanah yang baru sahaja disapu bersih.
Kadang-kadang angin malam menggoyangkan sedikit lampu gasolin itu, membuat bayang-bayang pokok kelapa bergerak perlahan di dinding rumah.
Di dapur, ibu dan emak saudara masih belum tidur. Lemang sedang dibakar perlahan di tepi bara. Bau santan dan daun pisang memenuhi udara malam.
Di ruang tamu pula, sebuah radio lama berbunyi. Radio itu jarang dimatikan pada malam raya. Dari pembesar suaranya kedengaran suara penyampai RTM yang tenang, diikuti lagu-lagu raya lama yang menjadi latar tetap Aidilfitri di rumah Melayu.
Di luar rumah, kanak-kanak sibuk memasang pelita. Ada yang menggunakan tin susu lama yang ditebuk kecil.
Ada yang menggunakan buluh. Barisan pelita itu menyala di tepi jalan kampung, berkelip perlahan seperti bintang kecil yang jatuh ke bumi.
Kadang-kadang kedengaran juga bunyi mercun papan dari hujung kampung, disambut sorakan kanak-kanak yang berlari ketakutan dan ketawa dalam masa yang sama.
Ketika itu Aidilfitri terasa seperti sebuah musim.
Orang pulang ke kampung beberapa hari lebih awal. Bas ekspres dari bandar tiba di pekan kecil membawa anak-anak yang bekerja jauh di kota. Motosikal dan kereta memenuhi jalan tanah merah yang biasanya sunyi.
Rumah tiba-tiba menjadi penuh. Sepupu yang setahun tidak bertemu berkongsi bilik yang sama. Tilam dibentang di ruang tamu. Malam-malam raya dipenuhi cerita dan ketawa yang tidak pernah habis.
Kadang-kadang cerita itu diulang setiap tahun. Tentang zaman susah, tentang bagaimana datuk membuka kebun dahulu, tentang kisah lama yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah keluarga tetapi tiada siapa yang jemu mendengarnya.
Sebagai seorang yang melihat budaya sebagai satu ekosistem, penulis selalu merasakan Aidilfitri dahulu seperti sebuah kampung yang benar-benar hidup. Setiap orang mempunyai peranan kecil dalam perayaan itu.
Ada yang menyiang daun pisang untuk lemang. Ada yang membakar bahulu menggunakan acuan besi di atas dapur arang. Ada yang menggantung kad raya.
Ada yang mengacau dodol dalam kawah besar di halaman rumah sehingga lenguh tangan dan ia biasa menjadi alasan culas puasa. Kanak-kanak pula berlari ke sana sini, kadang-kadang sekadar mengacau orang dewasa.
Dalam bahasa sosiologi, kegiatan seperti ini membina apa yang disebut oleh sarjana Robert D. Putnam sebagai rasa kebersamaan dan kepercayaan yang terbina melalui kerja bersama.
Hanya orang kampung dahulu tidak memerlukan istilah sosiologi untuk memahami perkara itu. Mereka hanya tahu bahawa kerja menjadi ringan apabila dilakukan bersama.
Perayaan seperti Aidilfitri sebenarnya adalah ruang di mana falsafah hidup seperti ini menjadi nyata.
Ahli antropologi Perancis Marcel Mauss pernah menulis bahawa perayaan adalah masa di mana masyarakat keluar daripada rutin kehidupan biasa dan kembali kepada hubungan manusia.
Dahulu Aidilfitri benar-benar memiliki sifat itu.
Pagi raya bermula dengan takbir dari masjid yang kedengaran melalui pembesar suara lama. Lelaki kampung berjalan ke masjid dengan baju Melayu yang masih keras lipatannya. Ada yang membawa anak kecil yang masih mengantuk di bahu.
Selepas solat, rumah-rumah mula dipenuhi tetamu. Pintu jarang benar ditutup. Di meja makan ada lemang, rendang, ketupat dan balang kaca yang penuh dengan kuih-muih.
Ada kuih bangkit yang rapuh di mulut, semperit berputar halus, kuih kapit yang rangup nipis, bahulu yang harum telur, serta tat nenas yang manis berkilat.
Kanak-kanak pula bergerak dari satu rumah ke rumah lain dengan poket penuh syiling raya. Kadang-kadang mereka pulang dengan tangan melekit kerana terlalu banyak makan kuih dan air sirap.
Hari raya ketika itu tidak terasa tergesa-gesa. Namun jika diperhatikan hari ini, ada sesuatu yang perlahan-lahan berubah.
Masa raya menjadi semakin pendek. Perjalanan pulang ke kampung berlaku dalam tempoh yang sangat padat. Dalam beberapa hari sahaja, jutaan rakyat Malaysia bergerak pulang sebelum kembali semula ke bandar.
Kita masih pulang tetapi jarang sempat benar-benar duduk lama.
Dapur raya juga tidak lagi seramai dahulu. Banyak kuih raya dibeli di pasar raya atau ditempah secara dalam talian. Persiapan menjadi lebih cepat, lebih mudah.
Namun dalam kemudahan itu, sesuatu yang kecil hilang. Suasana.Begitu juga dengan cerita.
Aidilfitri dahulu adalah musim orang tua bercerita. Di ruang tamu selepas makan tengah hari, mereka akan mengulang kisah lama tentang bagaimana kampung itu mula dibuka, tentang perjalanan keluarga yang panjang sebelum sampai ke generasi hari ini serta rahsia keluarga yang perlu disimpan sama.
Cerita-cerita itu sebenarnya memindahkan ingatan kepada anak-anak yang sedang membesar. Hari ini ruang itu semakin kecil. Di ruang tamu yang sama, setiap orang kadang-kadang tenggelam dalam telefon masing-masing.
Perbualan masih ada, tetapi cerita jarang panjang. Namun walau apa pun perubahan yang berlaku, ada sesuatu yang masih kekal.
Pada malam raya, takbir masih bergema dari masjid. Anak-anak masih menunggu duit raya dengan mata yang sama bercahaya seperti dahulu. Jalan raya masih penuh dengan kereta yang bergerak pulang ke kampung.
Seolah-olah dalam kesibukan hidup moden, manusia masih mencari satu tempat untuk kembali.
Mungkin itulah makna sebenar Aidilfitri. Ia bukan sekadar hari raya.
Ia adalah saat di mana sebuah masyarakat berhenti seketika dan mengingat kembali bahawa di tengah kehidupan yang semakin laju, manusia tetap memerlukan keluarga, cerita dan sebuah rumah untuk pulang.
Salam Aidilfitri.
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif