Memaknai Aidilfitri melalui lensa ilmu dan adab

Iklan
Aidilfitri mengingatkan tentang pentingnya memelihara silaturahim. Gambar kecil: Ahmad Martadha

MENJELANG Syawal yang mulia, kita sering mengaitkan Aidilfitri dengan kemenangan setelah sebulan mendidik jiwa.

Namun, di sebalik kemeriahan sambutan, Aidilfitri sebenarnya membawa satu falsafah besar, iaitu pemurnian hubungan manusia, pembinaan akhlak serta pengukuhan nilai-nilai insaniah yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat beradab.

Iklan
Iklan

Dalam konteks universiti, falsafah Aidilfitri ini amat signifikan. Universiti bukan sekadar medan penyampaian ilmu, tetapi juga ruang pembentukan jiwa, adab dan peradaban.

Maka, Syawal wajar dijadikan titik muhasabah untuk kita semua, baik warga akademia, pentadbir mahupun mahasiswa, memperkukuhkan kembali asas nilai yang membina kekuatan institusi ini.

Iklan

Pertama, Aidilfitri mengingatkan kita tentang pentingnya memelihara silaturahim. Dalam suasana kerja dan pembelajaran yang semakin mencabar, hubungan sesama warga universiti harus sentiasa dipupuk atas dasar hormat dan kepercayaan.

Perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada perpecahan, sebaliknya menjadi ruang memperkayakan wacana ilmu secara sihat dan matang.

Iklan

Kedua, kita harus menjauhi budaya fitnah dan prasangka. Universiti sebagai gedung ilmu tidak boleh dicemari dengan budaya negatif yang merosakkan integriti dan keharmonian.

Amalan berbaik sangka, tabayyun (menyemak kebenaran) serta komunikasi berhemah perlu menjadi budaya utama dalam setiap lapisan warga universiti.

Ketiga, Aidilfitri mendidik kita untuk membersihkan hati daripada hasad dengki. Dalam dunia akademik yang sarat dengan persaingan, sama ada dalam aspek penyelidikan, penerbitan atau pencapaian kerjaya, kita harus sentiasa mengutamakan semangat kolektif berbanding kepentingan peribadi. Kejayaan seorang warga universiti seharusnya diraikan sebagai kejayaan bersama.

Sehubungan itu, budaya bekerjasama sebagai satu pasukan perlu diperkukuh. Universiti yang cemerlang tidak dibina oleh individu secara terpisah, tetapi melalui sinergi yang utuh antara fakulti/kolej, pusat pengajian dan jabatan.

Kita mesti menjauhi semua jenis budaya toksik yang melemahkan organisasi, termasuk sikap individualistik melampau, budaya menyalahkan dan komunikasi yang tidak sihat.

Dalam masa yang sama, semangat Aidilfitri menuntut kita untuk sentiasa menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sama ada dalam kalangan rakan sekerja dan mahasiswa atau dengan masyarakat luar, universiti harus menjadi institusi yang peka dan responsif terhadap keperluan sosial.

Inilah manifestasi sebenar ilmu yang berfungsi, bukan hanya sekadar difahami, tetapi juga dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama.

Dari sudut profesionalisme, Aidilfitri juga membawa mesej penting tentang pembentukan budaya kerja yang produktif dan berintegriti. Sikap rajin, amanah dan komited bukan sahaja mencerminkan nilai peribadi, tetapi menentukan reputasi universiti secara keseluruhan.

Kita harus menjadikan setiap tugasan sebagai amanah yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

Lebih jauh daripada itu, universiti perlu terus diperkasakan sebagai pusat rujukan ilmu dan adab. Kesarjanaan bukan sekadar terletak pada jumlah penerbitan atau indeks sitasi, tetapi juga pada keupayaan menghasilkan ilmu yang bermakna, berimpak dan menyumbang kepada penyelesaian masalah masyarakat.

Apa-apa penyelidikan yang dilaksanakan harus berakar pada realiti semasa dan memberi manfaat nyata kepada negara.

Akhirnya, kita memikul tanggungjawab besar dalam membina karakter mahasiswa sebagai pemimpin masa depan negara.

Mahasiswa yang kita lahirkan bukan sahaja perlu cemerlang dari segi intelektual, tetapi juga tinggi adabnya, kukuh jati dirinya dan tidak terpisah daripada akar budaya ketimuran. Ketinggian ilmu harus seiring dengan keluhuran budi.

Dengan itu, sempena Aidilfitri ini, marilah kita bersama-sama mengembalikan dan memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang dihormati, bukan sahaja kerana keilmuan, tetapi juga kerana integriti, adab dan sumbangannya kepada pembangunan negara.

Semoga Syawal ini menjadi titik permulaan kepada sebuah budaya universiti yang lebih harmoni, produktif dan berjiwa besar.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

*** Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ialah Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia