Program Pra Tahfiz Kemas lahirkan generasi cilik pimpin solat tarawih - Ahmad Zahid

Iklan
Kanak-kanak Tabika Kemas mengimarahkan malam 27 Ramadan dengan menunaikan solat tarawih dengan dipimpin iman dalam kalangan rakan sebaya mereka. Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa bangga melihat 19,533 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengimarahkan malam 27 Ramadan dengan menunaikan solat tarawih dengan dipimpin iman dalam kalangan rakan sebaya mereka.

Katanya, program itu yang dijayakan oleh kanak-kanak dari 2,773 Tabika Kemas seluruh negara, sekali gus menunjukkan keberkesanan Program Pra Tahfiz Kemas dalam menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemandangan anak kecil memimpin solat tarawih dengan penuh keyakinan bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi simbol keberhasilan pendidikan awal yang berteraskan nilai agama.

"Ini antara hasil usaha dimulakan melalui Program Pra Tahfiz Kemas dalam membentuk generasi yang dekat dengan al-Quran. Alhamdulillah, apa yang kita usahakan hari ini telah mula menampakkan hasilnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha berkenaan tidak akan berhasil tanpa komitmen guru Kemas serta sokongan ibu bapa dalam membimbing anak-anak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang terus berusaha memastikan pendidikan awal kanak-kanak di bawah Kemas bukan sahaja menekankan aspek akademik, malah pembinaan sahsiah dan nilai keagamaan.

Iklan

Katanya inisiatif itu diharap dapat melahirkan generasi al-Quran yang mampu menjadi contoh kepada masyarakat serta menyumbang kepada masa depan negara. - Bernama