Lebih 200,000 kenderaan dijangka memenuhi WCE hujung minggu ini

Iklan
Antara laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Foto WCE

SHAH ALAM – West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB) menjangkakan lonjakan trafik yang ketara di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bermula Jumaat hingga Ahad ini dengan purata lebih 200,000 kenderaan.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Syed Mohammed Idid berkata, jumlah berkenaan membabitkan kenderaan merentasi persimpangan yang telah siap, kecuali Seksyen 3, 4 dan 7 di Selangor yang akan dibuka dalam tahun ini.

Iklan
Iklan

“Kenaikan ini mencerminkan permintaan perjalanan yang tinggi semasa hujung minggu panjang, berdasarkan corak perayaan terkini di mana WCE mengendalikan volum harian 160,000 hingga 170,000 kenderaan.

“WCE kekal komited untuk memastikan perjalanan selamat dan cekap bagi semua pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal bagi menghadapi kesesakan puncak yang dijangkakan dari petang hingga malam.

Katanya, orang ramai boleh memuat turun aplikasi WCE untuk kemas kini trafik masa nyata dan paparan CCTV secara langsung.

Iklan

“Berlepas awal pagi untuk mengelakkan waktu puncak. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, dengan tangki bahan api penuh serta tayar, brek dan lampu berfungsi dengan baik.

“Selain itu, patuhi had kelajuan, pakai tali pinggang keselamatan dan kekal berwaspada. Lorong kecemasan hanya untuk kenderaan rosak. Tunggu di belakang penghadang jalan (guardrail) dan dapatkan bantuan daripada peronda WCE yang bertugas.

“Pengguna juga boleh menghubungi talian bebas tol WCE di 1700-81-6600 yang beroperasi sepanjang masa. Jika letih, berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) WCE di Sungai Nyior, Perak dan Kapar, Selangor untuk menggunakan kemudahan seperti tandas dan surau,” katanya.

Tambahnya, pengguna dinasihatkan supaya mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.