Masjid Ibnu Batutah perlukan sokongan kelengkapan akhir

Iklan
Lakaran Masjid Ibnu Batutah yang dalam pembinaan di Kuala Krai.

KUALA KRAI – Pembinaan Masjid Ibnu Batutah di Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai kini menghampiri fasa akhir sekali gus memberi harapan kepada penduduk setempat untuk memanfaatkan kemudahan ibadah yang lebih selesa dalam masa terdekat.

Masjid yang mampu menampung kira-kira 1,100 jemaah pada satu-satu masa itu dibangunkan sebagai pusat ibadah utama selain berperanan sebagai hentian musafir di laluan Kuala Krai–Gua Musang.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Ibnu Batutah, Datuk Adnan Hashim berkata, secara keseluruhan pembinaan fizikal masjid kini berada pada tahap memuaskan, namun masih memerlukan beberapa kelengkapan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, antara keperluan yang masih belum dilengkapkan termasuk pemasangan karpet, sistem pembesar suara, penghawa dingin serta kubah bagi menyempurnakan fungsi dan keselesaan masjid.

Iklan

“Fasa akhir ini sangat penting kerana ia melibatkan kemudahan asas yang akan digunakan jemaah setiap hari, khususnya ketika solat berjemaah dan aktiviti keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan semasa projek pembinaan masjid berkenaan di sini.

Iklan

Adnan memaklumkan projek yang menelan kos RM7 juta itu sebelum ini berdepan kekangan kewangan sehingga beberapa komponen tambahan seperti kawasan rehat dan rawat serta taman rekreasi terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun, beliau optimis usaha menyiapkan masjid sebagai keutamaan utama akan dapat direalisasikan dengan sokongan berterusan pelbagai pihak.

“Keutamaan kami ketika ini adalah memastikan ruang solat utama dapat digunakan dengan selesa dan sempurna oleh masyarakat setempat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak jawatankuasa membuka ruang kepada mana-mana individu, syarikat atau badan korporat yang ingin bersama menyumbang dalam bentuk penajaan kelengkapan masjid.

“Bagi yang ingin menyumbang atau menaja keperluan seperti karpet, sistem audio, penghawa dingin atau kubah, sumbangan tersebut amat dialu-alukan sebagai sebahagian daripada usaha memakmurkan rumah ibadah ini,” katanya.

Masjid Ibnu Batutah dijangka menjadi antara mercu tanda baharu di Kuala Krai dengan reka bentuk berinspirasikan seni bina Asia Tengah serta fungsi pelbagai yang memfokuskan kepada keperluan komuniti.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 553029643872 atau Bank Islam 03072010139591, atau menghubungi Adnan di talian 0122808784.