KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sumbangan RM75,000 kepada 250 warga asnaf di sekitar ibu negara, Labuan dan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, seramai 200 asnaf Kuala Lumpur dan Labuan menerima sumbangan RM60,000.
Ujar beliau, bagi Putrajaya pula, seramai 50 penerima menerima sumbangan dengan peruntukan RM15,000.
"Untuk tahun ini, 250 asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan menerima sumbangan RM300 seorang untuk membeli pakaian dan barang keperluan sebagai persiapan sambutan Aidilfitri.
"Kita melihat program tersebut merupakan inisiatif baik di mana dapat memberi manfaat dan kegembiraan kepada semua khususnya kepada golongan asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Shopping Pakaian dan Keperluan Raya Tahun 2026M/1447H di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju pada Selasa.
Menurut Zulkifli, sepanjang Ramadan, MAIWP melaksanakan pelbagai program bagi memperkukuh kebajikan dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf serta barisan hadapan.
"Sepanjang Ramadan ini, kita menyertai pelbagai program anjuran MAIWP termasuk di hospital di mana sumbangan diberikan kepada para pesakit dan barisan hadapan.
"Kita juga mengunjungi lokasi lain seperti ibu pejabat polis dan balai bomba. Selain itu, kita turut membawa anak asnaf ke pusat beli-belah bagi memberi peluang kepada mereka memilih baju raya baharu," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat yang terus menunaikan tanggungjawab melalui MAIWP sehingga membolehkan pelbagai program kebajikan dilaksanakan.
Tambahnya, MAIWP juga telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam amalan dan pentadbiran pengurusan zakat di negara ini.
"Setiap tahun, MAIWP melalui proses audit yang ketat dan berjaya memperoleh laporan audit bersih.
"Ini membuktikan bahawa MAIWP sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme serta integriti yang tinggi dalam pengurusan dana zakat," katanya.