BANGKOK - Satu pertikaian rumah tangga yang pelik menjadi tular, gara-gara seorang wanita membuat tawaran untuk 'menyewakan' suaminya yang curang.
Kisah itu dikongsikan menerusi satu program TV di Thailand.
Wanita berkenaan iaitu Khun Kwang mendedahkan suaminya yang merupakan seorang anggota polis menjalinkan hubungan terlarang malah sudah berpindah ke rumah kekasih gelapnya.
Perkahwinan pasangan yang dikurniakan seorang anak itu mula retak pada pertengahan tahun lalu.
Khun mendapati seorang wanita misteri mengikuti akaun media sosial suaminya.
"Tidak lama selepas itu tingkah lakunya mula berubah dan kerap pulang lewat.
"Akhirnya, saya mengetahui tentang skandal tersebut setelah suami saya nekad mahu meninggalkan kami," menurutnya.
Jelas Khun, dia membuat tawaran luar biasa selepas perempuan simpanan suaminya enggan memutuskan hubungan mereka.
"Mereka boleh hidup bersama selagi wanita itu membayar 'sewa' 30,000 baht (RM3,600) sebulan. Dia bersetuju, namun suami saya menolak idea itu," ujarnya.
Difahamkan, Khun telah memfailkan tindakan undang-undang ke atas orang ketiga tersebut.
Namun, pakar undang-undang, Pat Anusorn Asurapong menjelaskan bahawa 'perjanjian pajakan suami' sedemikian tidak mempunyai kedudukan undang-undang di Thailand kerana ia melanggar ketenteraman awam dan undang-undang monogami negara itu. - Agensi