PENDANG - Suasana malam di Kampung Nam Dam, di sini kembali bercahaya menjelang Aidilfitri apabila anak-anak muda kampung itu bergotong-royong memasang kira-kira 800 pelita di sepanjang laluan utama, sekali gus menghidupkan semula tradisi pelita raya yang semakin jarang diamalkan.
Deretan pelita sepanjang hampir 800 meter di kiri dan kanan jalan masuk kampung mencipta panorama indah pada waktu malam, lebih-lebih lagi dengan latar sawah padi yang tenang.
Kemeriahan itu turut diserikan dengan replika buluh berbentuk Menara Berkembar Petronas, Menara Alor Setar dan Jambatan Pulau Pinang yang dibina hasil kreativiti belia kampung.
Seorang penduduk, Muhammad Zulfiqri Zulkifli, 25, berkata, tradisi memasang pelita raya di kampung itu sudah diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu dan kini diteruskan oleh generasi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun.
“Kami anak-anak muda kampung ini mengadakan gotong-royong setiap petang selepas Asar untuk mengisi minyak pelita. Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, kami mula menyalakan pelita satu per satu sehingga semuanya menyala hingga lewat malam,” katanya pada malam Ahad.
Kira-kira 200 penduduk kampung turut serta dalam konvoi motosikal di laluan berkenaan yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Khalil Ashraf Muhammad Yusuf, 22, berkata, cabaran utama adalah menyiapkan rangka replika buluh yang memerlukan mereka masuk ke hutan untuk mencari bahan.
Menurutnya, kos keseluruhan projek dianggarkan kira-kira RM1,000 termasuk minyak diesel bernilai RM200 bagi satu malam, hasil sumbangan sukarela penduduk kampung dan orang ramai.
“Kadang-kadang susah juga hendak menyiapkan rangka, tetapi kami buat sehingga siap. Replika ini menambah seri suasana Aidilfitri di kampung,” katanya.
Sementara itu, Zulkifly ketika ditemui menzahirkan rasa bangga dengan semangat anak muda Kampung Nam Dam yang terus mengekalkan tradisi pelita raya.
Jelasnya, usaha ini bukan sahaja menceriakan kampung menjelang Aidilfitri, malah mengeratkan hubungan masyarakat melalui semangat gotong-royong.
“Pemuda di sini sangat bersatu dan bertanggungjawab, patut dijadikan contoh kepada masyarakat luar,” ujarnya.