KUALA LUMPUR – Seorang lelaki diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kejadian curi di Kuil Sri Kamatchi Aman, Taman Maluri, Cheras di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.55 petang.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kemudian menjalankan operasi bagi mengesan suspek.
"Hasil operasi tersebut, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan Taman Maluri, Cheras," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kegiatan jenayah berkenaan.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik," katanya.
Mohd Rosdi berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat pada Ahad dan dibenarkan selama tujuh hari bermula 15 Mac hingga 21 Mac ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.