Dari persaingan ke perpaduan
POLITIK Malaysia sedang melalui satu perubahan besar yang sukar dinafikan. Jika dahulu landskap politik negara ditentukan dominasi satu gabungan besar, hari ini realitinya jauh lebih kompleks. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 membuktikan era politik lama semakin berakhir. Buat pertama kali dalam sejarah moden negara, keputusan pilihan raya menghasilkan Parlimen tergantung yang memaksa semua pihak menerima satu hakikat penting: tiada siapa lagi boleh memerintah sendirian.
Dalam keadaan itulah muncul satu formula politik baharu yakni Kerajaan Perpaduan. Di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan dibentuk melalui kerjasama pelbagai parti bagi memastikan negara tidak terus terperangkap dalam krisis politik berpanjangan. Langkah ini bukan sekadar kompromi politik tetapi keputusan strategik yang lahir daripada realiti politik baharu.