Razlan undur diri dari MAM

Iklan
Razlan Razali

 

PERSATUAN Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Razlan Razali sebagai bendaharinya berkuat kuasa serta-merta bagi memberi tumpuan kepada pelaburan peribadinya.

Iklan
Iklan

 

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Razlan merupakan tokoh penting dalam pembangunan sukan permotoran negara sejak beberapa dekad lalu.

Iklan

 

Menurutnya, minat mendalam Razlan terhadap perlumbaan dan penganjuran acara membawanya memainkan peranan besar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), termasuk membantu menjadikan litar itu sebagai venue utama perlumbaan bertaraf dunia.

Iklan

 

Katanya, Razlan turut mewujudkan suasana perlumbaan yang lebih meriah di SIC menerusi penganjuran acara antarabangsa seperti Formula Satu (F1) dan MotoGP.

 

“Dedikasi beliau terhadap sukan permotoran dua roda turut membawa kepada penubuhan pasukan lumba SIC sebelum menubuhkan Pasukan MotoGP RNF Racing miliknya sendiri.

 

“Sepanjang kerjayanya, pembangunan bakat pelumba sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

 

Dalam masa sama, Mokhzani merakamkan penghargaan atas sumbangan Razlan kepada MAM dan komuniti sukan permotoran negara serta berharap hubungan baik dengan beliau akan terus terjalin pada masa hadapan.

 

Sementara itu, Razlan ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, beliau tidak dapat memberikan komitmen masa sepenuhnya kepada MAM buat masa ini kerana perniagaannya sedang berkembang pesat.

 

“Jika saya tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada MAM, saya tidak akan memegang jawatan itu. Lebih baik jawatan tersebut diberikan kepada orang lain yang boleh menyumbang.

 

“Saya tidak mahu memegang jawatan itu sekadar pada nama. Memberi peluang kepada bakat baharu untuk menerajui MAM mungkin lebih baik daripada apa yang kita boleh buat,” katanya.