GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan pengurusan institusi berkenaan.
Bagi fasa pertama tindakan tersebut, empat individu telah dinamakan dan diberikan surat tuntutan iaitu aktivis Pembela Tanah Air, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard; Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, langkah tersebut diambil bagi mempertahankan reputasi serta integriti institusi agama Islam negeri daripada terus diperkotak-katikkan demi agenda politik pihak tertentu.
"Bagi mempertahankan reputasi dan integriti institusi ini, saya secara peribadi serta pihak MAINPP dan Zakat MAINPP telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.
“Saya akan mengambil tindakan lanjut bagi mempertahankan maruah serta kewibawaan institusi agama utama negeri ini daripada terus diperkotak-katikkan,” katanya pada sidang media di Pejabat MAINPP di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan beberapa dakwaan yang dibangkitkan terhadap dirinya, Zakat MAINPP dan MAINPP yang menurutnya tidak berasaskan fakta sebenar serta berniat jahat.
Menurutnya, tuduhan berkaitan bantuan zakat kepada Zamri Ahmad juga tidak tepat kerana individu berkenaan telah dikenal pasti sebagai asnaf miskin sejak Ogos 2023 iaitu sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Yang Dipertua MAINPP.
Katanya, Zamri yang mengidap penyakit jantung serta angin ahmar sehingga tidak lagi mampu bekerja ketika itu hanya bergantung kepada pencen ilat sebanyak RM178.97 sebulan selepas potongan pinjaman perumahan selain menanggung keluarga termasuk seorang anak angkat yang juga pesakit buah pinggang.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan isu pembelian tanah melibatkan Lot 240, 264 dan 265 Mukim 3 di Seberang Perai Selatan yang didakwa menimbulkan persoalan.
Menurutnya, cadangan pembelian tanah tersebut telah bermula sejak 15 Januari 2021 dan melalui beberapa peringkat penelitian termasuk penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penelitian Jawatankuasa Pembangunan, Hal Ehwal Tanah dan Aset MAINPP sebelum diputuskan oleh pihak berkaitan.
Sementara itu, mengulas dakwaan berkaitan pelantikan ahli keluarga, Mohamad berkata, perkara itu sebenarnya melibatkan proses tukar lantik dalam skim perkhidmatan awam yang dibuat mengikut prosedur ditetapkan berdasarkan kekosongan jawatan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa anaknya menerima biasiswa zakat.
Beliau turut menjelaskan dakwaan lawatan ke luar negara bersama ahli keluarga telah diterangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada September 2025 dan lawatan tersebut tidak melibatkan sebarang penggunaan dana kerajaan atau agensi kerana semua kos ditanggung secara peribadi.
"Sehubungan itu, semua tuduhan yang dibangkitkan terhadap diri saya, Zakat MAINPP dan MAINPP adalah tidak berasas serta merupakan fitnah yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan reputasi institusi agama Islam di Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu, peguam beliau, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen berkata, proses tindakan undang-undang telah dimulakan apabila surat tuntutan rasmi dikeluarkan sebagai langkah pertama prosiding tersebut.
Menurutnya, tindakan bukan sahaja tertumpu kepada pihak yang menghasilkan bahan tersebut malah turut melibatkan individu yang menyebar, menerbitkan semula atau berkongsi kandungan berkenaan.
“Kami telah memulakan proses mengeluarkan surat tuntutan kepada beberapa individu sebagai fasa pertama tindakan undang-undang.
“Melalui surat tersebut, individu yang terlibat diminta menghentikan serta-merta penyebaran bahan berunsur fitnah, mengemukakan permohonan maaf serta memberikan aku janji untuk tidak menerbitkan atau mengulang penyebaran kenyataan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pihak terbabit diberikan tempoh tujuh hari bermula Jumaat untuk memenuhi tuntutan yang dikemukakan.
“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, kami akan meneruskan tindakan prosiding di mahkamah,” katanya.
Katanya, selain fasa pertama, satu lagi fasa kedua tindakan turut dirancang membabitkan beberapa individu lain yang didakwa menerbitkan semula kenyataan berkenaan.
“Setakat ini, saya boleh mengesahkan bahawa semua proses untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang telah dimulakan,” katanya.
Sebelum ini, Chegubard telah berkongsi kenyataan seorang penyelaras Peta, Azam Melaka berkaitan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.
Susulan daripada itu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang ADUN dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lalu.
SRPM Pulau Pinang turut memanggil 63 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa berkenaan.
Antara yang dipanggil termasuk Ahli Majlis Agama Islam Negeri, mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang serta pegawai, kakitangan MAINPP, Ahli Lembaga Zakat MAINPP serta pegawai dan kakitangan zakat negeri.