Pengasas Rumah Ngaji As Solihin Bachok meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Maimunah Ibrahim

BACHOK – Pengasas Rumah Ngaji As Solihin di Kampung Teluk Kemunting, Tawang di sini meninggal dunia selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru serta sakit jantung.

Maimunah Ibrahim, 60, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.55 malam ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.

Iklan
Iklan

Anak keduanya, Abu Ubaidah Fauzi, 37, berkata, sebelum kejadian ibunya masih sempat berbual seperti biasa pada waktu pagi, namun kesihatannya dilihat semakin merosot menjelang tengah hari.

Menurutnya, selepas menunaikan solat Zuhur, ahli keluarga mendapati ibunya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah.

Iklan

“Selepas selesai solat Zuhur, kami panggil nama ibu tetapi dia tidak memberi sebarang respons.

“Kami terus menghubungi ambulans dan ibu dibawa ke hospital dan mendapat rawatan sebelum doktor mengesahkan beliau meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Abu Ubaidah berkata, keadaan kesihatannya ibunya kurang baik sejak Rabu dan mempunyai sejarah penyakit jantung sejak 2016.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Pintu Gerbang, Bachok pada Khamis.

Allahyarhamah yang merupakan ibu tunggal meninggalkan tujuh orang anak.

Wanita berkenaan dikenali sebagai seorang yang aktif dalam aktiviti Rumah Ngaji di bawah Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan serta sentiasa memberi komitmen tinggi dalam usaha menyebarkan budaya membaca dan memahami al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Beliau gigih mengajar al-Quran kepada masyarakat setempat sama ada di rumah mahupun di masjid melalui Rumah Ngaji As Solihin yang diasaskannya.

Sepanjang hayatnya, Allahyarhamah banyak terlibat dalam pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan, selain sering membantu penduduk sekitar.

Dalam kalangan kenalan dan penduduk setempat, Allahyarhamah dikenang sebagai seorang yang baik hati, mudah mesra serta gemar bersedekah walaupun dalam apa jua keadaan.