Kelantan cadang tubuh jawatankuasa khas nilai semula latihan doktor pelatih - Exco

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu berhubung kematian seorang doktor pelatih di asrama HSIP, Kuala Krai pada Jumaat.

KOTA BHARU - Kelantan mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menilai semula sistem latihan doktor pelatih di negara ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, ia bertujuan menambah baik kaedah latihan sedia ada termasuk mengurangkan tekanan dan bebanan terhadap pelatih dalam bidang perubatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebahagian kaedah latihan yang digunakan ketika ini merupakan amalan lama yang wajar dinilai semula sejajar perubahan zaman serta perkembangan teknologi.

"Kita boleh mempertimbangkan penubuhan satu jawatankuasa untuk menilai semula kaedah latihan sedia ada supaya ia lebih sesuai dengan perkembangan semasa dan generasi sekarang.

Iklan

"Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada kaedah lama sedangkan dunia sekarang sudah berubah dengan pendekatan yang lebih moden," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian seorang doktor pelatih di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai yang tular baru-baru ini.

Iklan

Menurut beliau, kerajaan negeri turut berdukacita dengan kejadian itu memandangkan ia melibatkan seorang doktor pelatih yang mempunyai masa depan cerah dalam bidang perubatan.

"Tekanan memang sebahagian daripada proses latihan dalam mana-mana profesion, termasuk perubatan dan undang-undang, namun perlu ada had supaya tidak menjejaskan kesihatan mental pelatih," katanya.

Tambah Hilmi, pada masa sama kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta hasil siasatan Polis Diraja Malaysia berhubung kes berkenaan.

"Saya jangka laporan tersebut akan diperoleh dalam minggu ini," katanya.