Kelantan senarai hitam lesen, kompaun peniaga bazar Aidilfitri buang sampah merata

Iklan
Hilmi

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan menyenarai hitam lesen dan mengenakan kompaun terhadap peniaga bazar Aidilfitri yang didapati membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan kebersihan kawasan perniagaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya pihak berkuasa mengenal pasti peniaga yang gagal menguruskan sisa perniagaan masing-masing selepas tamat operasi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada peniaga untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam bagi membolehkan mereka menghabiskan jualan menjelang Aidilfitri.

"Kalau hendak habiskan barang jualan, kita tidak halang. Cuma kita minta supaya peniaga menjaga kebersihan kawasan perniagaan masing-masing.

Iklan

"Sebelum ini kita beri kebenaran tetapi ada yang meninggalkan sampah begitu sahaja selepas tamat operasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Hilmi memberitahu, kerajaan negeri juga terpaksa menyediakan sumbangan khas Aidilfitri kepada lebih 700 pekerja kebersihan yang akan bertugas pada malam dan pagi Hari Raya bagi membersihkan sisa sampah yang ditinggalkan di bazar Aidilfitri di seluruh negeri.

Iklan

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan kawasan bandar berada dalam keadaan bersih dan teratur ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Pekerja kebersihan ini akan bertugas membersihkan sampah sarap tinggalan bazar Aidilfitri di seluruh negeri.

"Sebab itu kita harap semua peniaga dapat mengemas kembali premis perniagaan masing-masing dan memastikan kebersihan sentiasa terjaga," katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat peniaga yang dikenal pasti melanggar undang-undang kecil kebersihan, pihak berkuasa tempatan boleh mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun dan menyenarai hitam lesen perniagaan mereka.

Bagaimanapun katanya, memandangkan Aidilfitri semakin hampir, kerajaan negeri masih memberi pertimbangan dengan harapan semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan.

"Harapan kita supaya pada hari raya nanti, bandar kita berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk orang ramai," katanya.