Caj RM1 dikecualikan di ATM rangkaian MEPS

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan semua institusi perbankan dan PayNet untuk mengecualikan caj RM1 bagi setiap pengeluaran di semua mesin ATM yang menggunakan rangkaian MEPS.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian caj tersebut bermula 6 April ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah meminta institusi perbankan mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran di ATM menggunakan rangkaian MEPS. Ini kerana kita difahamkan sehingga sekarang ramai pengguna bank masih menggunakan khidmat juruwang kerana isu ATM yang mengenakan caj bagi setiap pengeluaran.

"Ini akan memberikan rakyat Malaysia kemudahan untuk mengeluarkan wang di mesin ATM terdekat tanpa dikenakan apa-apa caj dan tidak perlu lagi berpusu-pusu ke bank untuk keluarkan wang. Namun begitu, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial," katanya pada Sidang Media (non-health) di sini hari ini.

Iklan

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian bagi urusan harian bagi mengurangkan pergerakan.

Mengulas mengenai laporan bahawa ada pekerja Bangladesh di negara ini tidak mempunyai bekalan makanan menyebabkan mereka kelaparan, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersedia membantu mana-mana pihak yang berada dalam negara ini.

Iklan

Namun begitu, beliau menjelaskan setiap kedutaan bagi pekerja asing ini perlu mengambil tanggungjawab memastikan rakyat mereka mendapat bantuan sewajarnya.

"Mereka perlu melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah sekiranya ada rakyat mereka di mana-mana daerah dan jika di Kuala Lumpur mereka boleh menghubungi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Isu berkaitan warga asing ini perlu diambil tanggungjawab dan kerajaan Malaysia akan membantu kedutaan negara-negara ini untuk menyelaras apa yang mereka perlu lakukan," katanya.