CAMERON HIGHLANDS – Bacaan dan tadabbur Surah al-Muzammil menyamankan suasana penganjuran Cameron Highlands #QuranHour yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini baru-baru ini.
Program anjuran Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan swasta, persatuan serta orang awam sekitar daerah berkenaan.
PKCH dalam kenyataannya memaklumkan, program berkenaan merupakan penganjuran kali ketiga oleh perbadanan itu dan dijadikan sebagai acara tahunan bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
Menurutnya, sambutan memberangsangkan yang diterima setiap tahun menjadi pendorong utama kepada pihaknya untuk meneruskan penganjuran program tersebut.
"Program ini juga diadakan sebagai pengisian bermanfaat sepanjang Ramadan khususnya kepada penjawat awam dan masyarakat setempat di Cameron Highlands,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan tinggi bukan sahaja daripada kakitangan kerajaan, malah turut melibatkan masyarakat setempat.
Pada program itu, sesi tadabbur Surah al-Muzammil disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Mohd Shafiq Sahimi.
Sementara itu, bacaan al-Quran diperdengarkan oleh qari jemputan Sheikh Muhammad Jabir Dallul dan Naqib Harith Mohd Halim.
Turut hadir Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan PKCH, Muhammad Azali Afikudia.
Penganjuran program berkenaan sebagai kesinambungan World #QuranHour yang dijadual berlangsung pada Rabu di seluruh dunia.
WQH 2026 membawa tema Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia berpandukan Surah al-Muzammil.
Lokasi perdana WQH tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak bermula 12 hingga 1 tengah hari.