Perhilitan pasang kamera kesan harimau sesat

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai sebuah rakaman video tular memaparkan seekor harimau belang muncul di kawasan semak berhampiran Kampung Rahmat mencetuskan kebimbangan penduduk.

KLUANG – Kelibat seekor harimau belang yang dirakam di kawasan semak sebuah kebun di Kampung Rahmat di sini dipercayai tersesat ke kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, anggotanya sudah menjalankan siasatan di lokasi susulan aduan orang awam serta penularan video tular berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini tidak pernah merekodkan kehadiran harimau belang.

“Kita tidak menolak kemungkinan harimau terbabit tersesat hingga ke kawasan ini.

Iklan

"Siasatan awal Perhilitan di lokasi juga mendapati laporan yang diterima adalah munasabah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bagi memastikan keadaan terkawal dan menjamin keselamatan penduduk berhampiran, Perhilitan telah memasang perangkap kamera di sekitar kawasan berkenaan.

Iklan

Katanya, langkah itu bertujuan mengesan sama ada harimau terbabit masih berada di kawasan tersebut atau sudah kembali ke habitat asalnya.

“Selain itu, anggota Perhilitan juga menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan terbabit serta mengambil langkah perlu bagi memastikan haiwan berkenaan keluar dari kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, sebuah rakaman video tular memaparkan seekor harimau belang muncul di kawasan semak berhampiran Kampung Rahmat mencetuskan kebimbangan penduduk.

Dalam video berdurasi satu minit 36 saat itu, harimau tersebut dilihat bergerak perlahan di celah semak.