BANGKOK – Seorang lelaki Thailand menikam bekas isterinya hingga mati di sebuah bilik sewa di Bangkok selepas wanita itu menolak untuk mengadakan hubungan intim dengannya.
Suspek, Samorn, 58, menghubungi rakannya yang merupakan pegawai polis untuk mengaku bahawa dia telah membunuh bekas isterinya, Wanatda, 49.
Samorn turut memberitahu pegawai itu bahawa dia merancang untuk membunuh diri, mendorong pihak polis menghantar bantuan tambahan ke lokasi tersebut iaitu sebuah bilik di daerah Phasi Charoen.
Menurut pegawai polis, mereka memujuk Samorn menghentikan percubaan bunuh diri itu dan memintanya menyerah diri.
Sementara itu, Wanatda ditemui mati di atas katil dalam bilik tersebut dengan hanya memakai seluar dalam serta mengalami dua kesan tikaman di bahagian leher.
Difahamkan Wanatda tinggal di bangunan yang sama dengan suspek, dengan bilik masing-masing berdekatan.
Samorn memberitahu polis bahawa dia dan Wanatda telah bercerai pada Disember tahun lalu, namun kedua-duanya masih berhubungan.
Pada hari kejadian, mereka pergi ke sebuah tempat hiburan bersama-sama sebelum kembali ke bilik Samorn dalam keadaan mabuk.
Dia mengajak Wanatda melakukan hubungan intim tetapi wanita itu menolak.
Samorn memberitahu polis bahawa dia menjadi marah sebelum menikam wanita itu hingga mati.
Polis mendakwa Samorn di bawah Seksyen 288 Kanun Jenayah, yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara antara 15 hingga 20 tahun.
Dia kini ditahan dan dibawa ke Mahkamah Jenayah Thon Buri sementara menunggu prosiding undang-undang selanjutnya. - Agensi