Wanita nekad turun parit selamatkan anjing terperangkap

Iklan
Perkongsian Lieza mendapat ribuan tanda suka dan komen yang menzahirkan penghargaan terhadap tindakan wanita itu.

SHAH ALAM – Tindakan seorang wanita yang nekad turun ke dalam parit bagi menyelamatkan seekor anjing yang dipercayai terperangkap selama beberapa hari meraih perhatian warganet di media sosial.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok milik Lieza Zainy, dia dilihat turun ke dalam parit sempit yang dipenuhi air bagi membantu haiwan tersebut keluar dari kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Wanita itu memegang anjing tersebut sebelum mengangkatnya naik ke atas permukaan dalam keadaan hujan.

Menurut Lieza, pada awalnya dia menyangka anjing berkenaan mampu keluar sendiri dari parit tersebut.

Iklan

Namun katanya, apabila melihat haiwan itu masih berada di situ keesokan hari dan dipercayai mengalami kecederaan pada kaki, dia mengambil keputusan untuk turun dan membawanya keluar.

"Sehari sebelum itu saya fikir anjing itu boleh naik sendiri. Keesokan harinya saya nampak ia masih ada dan keadaan kakinya seperti terseliuh.

Iklan

“Saya nekad turun ke dalam parit dan bawa naik ke atas," katanya.

Perkongsian Lieza turut menerima ribuan tanda suka serta ratusan komen daripada warganet yang memuji tindakan wanita itu kerana menunjukkan sikap prihatin terhadap haiwan berkenaan.

Disamping itu ramai pengguna media sosial turut menzahirkan penghargaan dengan mendoakan agar wanita tersebut dimurahkan rezeki serta dilindungi dalam kehidupannya.