KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kehadiran dua individu yang mengaku sebagai anggota polis di pejabat organisasi itu pada Isnin.
Sekretariat Bersih memaklumkan, maklumat mengenai kehadiran dua individu berkenaan diperoleh daripada rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di pejabat tersebut ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, dua individu terbabit dikatakan datang ke pejabat berkenaan dan berbual dengan rakan NGO itu bagi mendapatkan maklumat mengenai keberadaan wakil Bersih.
“Pihak Sekretariat Bersih mendapat maklumat daripada rakan NGO bahawa terdapat dua orang yang mengaku sebagai anggota polis telah datang ke pejabat Bersih sekitar jam 11.30 pagi tadi.
“Mereka telah bercakap dengan rakan NGO tersebut bagi mengetahui keberadaan kami,” menurut kenyataan Sekretariat Bersih pada Isnin.
Bagaimanapun, katanya, tujuan kehadiran dua individu tersebut tidak dimaklumkan dan pihaknya juga tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada polis setakat ini.
“Setakat maklumat yang diterima, tiada tujuan dimaklumkan dan pihak kami juga tidak dihubungi secara rasmi oleh pihak polis untuk apa-apa siasatan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Bersih menggesa PDRM mengesahkan sama ada individu yang hadir ke pejabat tersebut benar-benar merupakan anggota polis dan memberikan pemakluman rasmi kepada pihaknya.
“Seandainya dua orang tersebut adalah daripada anggota polis, kami menggesa pihak PDRM untuk mengesahkan ‘lawatan’ anggota tersebut dan memberi pemakluman secara rasmi kepada Bersih,” ujarnya.
Bersih merupakan gabungan pertubuhan masyarakat sivil yang memperjuangkan reformasi pilihan raya serta tadbir urus demokrasi di Malaysia.