SPRM, ATM perkukuh kerjasama strategik sektor pertahanan

Iklan
Malek (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Azam ketika kunjungan hormatnya di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin. - Foto: SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus meningkatkan kerjasama strategik menerusi pelbagai bidang khususnya dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus pertahanan negara.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pertemuan sulung itu juga bersempena pelantikan Malek sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 yang baharu berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut menyentuh pelaksanaan tatakelola dalam bidang pengurusan perolehan, tender dan sebut harga bagi tempoh enam bulan.

Iklan

Menurut Azam, menerusi kerjasama itu, SPRM dan ATM juga akan memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bahagian Perisikan SPRM dan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).

“Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta mematuhi peraturan dan tatakelola kewangan kerajaan.

Iklan

“SPRM bersetuju untuk bekerjasama dengan ATM daripada aspek latihan pengurusan integriti dan penambahbaikan strategi antirasuah ATM,” katanya.

Pertemuan tersebut turut memfokuskan usaha pengukuhan kerjasama dalam aspek pengurusan media serta pemantapan mekanisme komunikasi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah dalam ekosistem pertahanan.

Pada masa sama, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu teknikal serta peluang kerjasama dua hala antara SPRM dan ATM bagi mempertingkat kecekapan sistem penyampaian selain memperkukuh budaya integriti dalam institusi pertahanan negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin serta Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Saharudin Harun.