SABAK BERNAM - Penganjur acara sukan larian di daerah ini akan dikenakan caj penyertaan RM3 bagi setiap peserta bagi menyokong pembangunan kemudahan sukan serta memastikan kelestarian penganjuran program pada masa depan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Awaluddin Zakaria berkata, caj komitmen minimum itu dikenakan kepada semua penganjur termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan atau agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta mana-mana organisasi yang ingin menganjurkan acara larian di daerah berkenaan.
Menurutnya, kadar RM3 bagi setiap peserta itu dilaksanakan bagi membantu menampung sebahagian kos operasi selain menyokong usaha menaik taraf infrastruktur sukan dan kemudahan awam.
"Caj minimum ini bertujuan membantu kerja baik pulih infrastruktur sukan, infrastruktur pelancongan dan kemudahan awam di daerah ini.
"Selain itu, hasil kutipan caj komitmen ini juga boleh digunakan semula untuk menampung kos serta memastikan kesinambungan penganjuran program pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Awaluddin berkata, caj itu turut bertujuan menggalakkan penyertaan lebih bertanggungjawab dalam kalangan peserta sekali gus mengurangkan risiko ketidakhadiran selepas pendaftaran dibuat.
Menurutnya, kutipan RM3 bagi setiap peserta juga dapat membantu menampung kos asas penganjuran program seperti penyediaan air mineral, percetakan bahan, pelekat dan logistik ringan.
"Penganjur juga diminta memaklumkan kepada urus setia di MDSB bagi menyelaras tarikh dan masa penganjuran program supaya tidak berlaku pertindihan acara pada hari sama," jelas beliau.
Beliau berkata, cadangan caj itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kemasyarakatan 12 Ogos tahun lalu sebelum disahkan dalam Mesyuarat MDSB pada 26 Ogos tahun sama.
Katanya, perkara itu turut dimaklumkan kepada Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Selangor dalam mesyuarat yang bersidang pada 18 Ogos tahun lalu serta Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Sabak Bernam, 13 November tahun sama.
Menurutnya, pelaksanaan caj itu juga mempunyai punca kuasa melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di bawah Seksyen 107 yang memberi kuasa kepada PBT mengenakan caj atau fi berkaitan perkhidmatan serta kemudahan awam yang disediakan.
"Caj ini turut selaras dengan arahan dan pekeliling perbendaharaan yang membolehkan agensi kerajaan mengenakan bayaran munasabah bagi sesuatu perkhidmatan atau program, selain menggalakkan sumber hasil tambahan secara sah bagi menampung kos pentadbiran serta program sosial," tambah beliau.