Iran teruskan serangan agresif, sasar kepentingan AS-Israel

Iklan
Gambar yang diambil selepas pelancaran Operasi Janji Benar 4 terhadap sasaran Israel dan Amerika Syarikat.-Agensi

TEHERAN - Kor Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan pelancaran gelombang ke-27 Operasi Janji Benar 4, yang melibatkan serangan balas berterusan terhadap sasaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel susulan apa yang disifatkan sebagai pencerobohan baharu oleh kedua-dua negara itu terhadap Iran.

Dalam kenyataan pada Sabtu, IRGC memaklumkan bahawa fasa terbaharu operasi itu melibatkan serangan dron dan peluru berpandu secara terkoordinasi terhadap kepentingan tentera AS dan Israel.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, serangan balas peluru berpandu turut menyasarkan objektif ketenteraan Israel di bahagian utara wilayah yang diduduki.

IRGC berkata, sasaran itu diserang menggunakan peluru berpandu bahan api pepejal generasi baharu Kheibar-Shekan yang dilancarkan oleh Bahagian Aeroangkasa pasukan tersebut.

Iklan

“Dalam operasi strategik dan pelbagai dimensi ini, sasaran ketenteraan Zionis di Haifa telah diserang menggunakan peluru berpandu Kheibar-Shekan yang mempunyai kemampuan panduan sehingga ke saat impak,” menurut kenyataan itu.

IRGC turut melaporkan penggunaan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi menyerang lokasi yang menempatkan tentera Amerika.

Iklan

Menurut kenyataan tersebut, unit dron berjaya menyasarkan kawasan penempatan tentera AS di lokasi dikenali sebagai Marina, berhampiran bangunan syarikat hiburan Warner Brothers.

Dalam perkembangan sama, IRGC menyatakan bahawa pasukan tentera lautnya melancarkan serangan terhadap kemudahan berkaitan Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain.

Serangan itu didakwa menyasarkan unit kawalan bagi kapal permukaan tanpa pemandu milik armada tersebut serta hangar sokongan ketenteraan di Pelabuhan Salman.

IRGC turut mendakwa Israel cuba melindungi anggota tenteranya dengan menempatkan penduduk awam di kawasan tertentu sebagai perisai manusia.

Menurut kenyataan itu, pemantauan lapangan menunjukkan penduduk di wilayah diduduki dikumpulkan di kawasan utara dan tengah bagi melindungi kedudukan ketenteraan Israel.

IRGC menambah bahawa serangan Iran menyebabkan amaran kecemasan dan siren dibunyikan berulang kali di wilayah berkenaan.

Pada akhir kenyataan, IRGC menegaskan bahawa unit Angkatan Tentera Iran bersiap siaga menghadapi sebarang perkembangan lanjut.

Operasi Janji Benar 4 dilancarkan sejurus selepas serangan ketenteraan AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, dengan ratusan peluru berpandu balistik dan dron dilaporkan digunakan bagi menyasarkan pelbagai kepentingan Israel serta aset ketenteraan AS di rantau tersebut.-Agensi