SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Maria Chin Abdullah tampil mempersoalkan tindakan-tindakan terkini dibuat Kerajaan Madani yang menimbulkan kebimbangan serius tentang hala tuju tadbir urus negara, komitmen terhadap reformasi serta perlindungan kebebasan sivil.
Menyentuh tiga perkara, Maria berkata, pertama, kerajaan dilihat terus mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki walaupun berdepan pelbagai dakwaan dan kontroversi awam berpanjangan sehingga menjejaskan keyakinan terhadap institusi tersebut.
Menurut beliau, perkara yang sekurang-kurangnya perlu dibuat dari sudut prinsip tadbir urus baik adalah menuntut Azam bercuti sementara bagi membolehkan satu siasatan bebas dan telus dijalankan.
"Sebaliknya, kerajaan memilih untuk mempertahankan Azam, sekali gus menghantar isyarat yang salah mengenai akauntabiliti dan integriti.
"Tidak kurang membimbangkan juga adalah respons negatif dan bersifat menolak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh Bersih mengenai kemungkinan wujudnya penyalahgunaan SPRM sebagai alat politik.
"Apabila organisasi masyarakat sivil (CSO) yang berwibawa membangkitkan kebimbangan tentang siasatan terpilih atau politik dalam agensi penguatkuasaan, ia patut ditangani dengan serius, bukannya diketepikan," katanya," dalam kenyataan pada Sabtu.
Perkara kedua iaitu dakwaan dan persoalan berkaitan bekas pembantu kepada mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu James Chai, kata Maria, SPRM dilihat menjalankan siasatan serta penelitian yang tidak seimbang terhadap anak muda itu.
Ini kerana baginya, James Chai atau nama sebenarnya Chai Jin Shern hanya seorang pembantu junior dan pemuda terbabit tidak mungkin mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan di peringkat Kabinet mahupun perjanjian komersial besar seperti dituduh.
"Dakwaan yang timbul berkaitan James Chai turut menonjolkan keperluan mendesak untuk ketelusan dan tadbir urus beretika.
"Perkara yang melibatkan penyalahgunaan kuasa serta rasuah mesti ditangani secara terbuka dan tegas bagi mengelakkan persepsi kekebalan atau amalan dua darjat," ujar bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu.
Terakhir, dalam konteks keselamatan kanak-kanak, Maria berpendapat bahawa penangkapan dan penahanan golongan tersebut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana disyaki terbabit aktiviti berorientasikan ideologi kumpulan pengganas Daesh baru-baru ini disifatkan sebagai perkembangan yang amat membimbangkan.
Jelasnya, ia menimbulkan persoalan mendalam tentang prinsip kesepadanan, proses keadilan serta perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak di bawah undang-undang negara dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
"Namun begitu, Kerajaan Madani terus mempertahankan lanjutan dan pindaan terhadap undang-undang ini, bukan memansuhkannya sepenuhnya.
"Hakikatnya, undang-undang sedia ada mencukupi untuk melindungi rakyat daripada ancaman keselamatan dan jenayah berbahaya," katanya lagi.
Secara kesimpulannya, Maria berpandangan, perkembangan dan tindakan dimaksudkan berisiko menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi utama negara akibat percanggahan naratif reformasi yang membawa pentadbiran semasa kepada tampuk kuasa.
"Rakyat Malaysia mengharapkan sebuah kerajaan yang akan memperkukuh institusi demokrasi, menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan agensi penguatkuasaan bertindak bebas tanpa campur tangan politik.Bukannya menggunakan institusi negara sebagai alat terhadap individu yang mempunyai pandangan berbeza.
"Justeru, saya menggesa Kerajaan Madani untuk menunjukkan komitmen sebenar terhadap pembaharuan dengan memastikan adanya ketelusan, menghormati kebebasan sivil, melindungi hak kanak-kanak serta memelihara kebebasan dan kredibiliti institusi penguatkuasaan.
"Pembaharuan bukan sahaja mesti dijanjikan, ia perlulah dilaksanakan," kata beliau.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Anwar membidas kenyataan Bersih yang mendakwa SPRM menjadi senjata politik kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dakwaan tersebut tidak adil kerana kenyataan dibuat sebelum laporan rasmi berkaitan diperoleh.
Menurut ahli Parlimen Tambun itu, semua pihak sepatutnya menunggu laporan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan.