SETIAP kali isu beras timbul, kebimbangan rakyat lazimnya tertumpu kepada dua perkara asas sama ada bekalan mencukupi dan harga mampu beli.
Dalam realiti keterjaminan makanan, kedua-dua faktor ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya memerlukan satu sistem yang mampu bertahan ketika pasaran global bergolak.
Di sinilah peranan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sering menjadi tumpuan perbincangan awam, namun tidak selalu difahami secara menyeluruh.
Import sebagai penstabil, bukan pengganti
Sebagai pengimport beras negara, BERNAS tidak berperanan menggantikan pengeluaran tempatan. Import berfungsi sebagai penampan sistem, satu langkah pelengkap memastikan bekalan kekal mencukupi ketika berlakunya gangguan luar jangka seperti sekatan, bencana alam atau ketidaktentuan geopolitik.
Pendekatan ini berakar daripada pengalaman krisis makanan global menunjukkan kebergantungan sepenuhnya kepada pasaran terbuka boleh mendedahkan negara kepada risiko bekalan dan lonjakan harga mendadak.
Tahun kebelakangan ini menyaksikan pelbagai cabaran serentak termasuk sekatan eksport beras oleh negara pengeluar utama, fenomena El Nino, gangguan rantaian bekalan serta tekanan kadar pertukaran mata wang.
Dalam situasi sebegini, kestabilan pasaran domestik bergantung kepada keupayaan sistem menyerap kejutan luar.
Pengeluaran tempatan kekal teras utama
Keterjaminan makanan jangka panjang tidak boleh bergantung kepada import semata-mata. Justeru, pengukuhan sektor padi tempatan dan kebajikan pesawah kekal menjadi keutamaan.
Sebagai sebahagian obligasi sosialnya, BERNAS berperanan sebagai pembeli padi terakhir termasuk padi rosak pada Harga Minimum Terjamin (GMP) tertakluk kepada pemutuan sebenar.
Mekanisme ini memastikan hasil tuaian pesawah tidak terdedah sepenuhnya kepada turun naik pasaran.
Sektor padi negara berdepan cabaran struktur, termasuk faktor usia pesawah dan produktiviti.
Justeru, usaha memodenkan pengeluaran melalui mekanisasi dan teknologi menjadi penting.
Pelaksanaan program sawah berskala besar, penggunaan jentera moden dan integrasi teknologi digital bertujuan meningkatkan hasil, mengurangkan kos serta menjadikannya lebih berdaya saing dan menarik kepada generasi baharu.
Teknologi dan ketahanan masa depan
Penggunaan teknologi pertanian pintar melalui integrasi mekanisasi ladang, kecerdasan buatan dan analitik data masa nyata dalam pengurusan sawah memberi ruang kepada keputusan lebih tepat dan cekap.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membantu pesawah mengurangkan pembaziran, mengurus risiko cuaca dan persekitaran dengan lebih baik.
Dalam jangka panjang, pendekatan berasaskan teknologi adalah sebahagian strategi membina sistem pengeluaran makanan lebih tahan lasak.
Bencana alam dan ketidaktentuan cuaca memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup pesawah.
Di sinilah peranan sokongan institusi menjadi penting, bukan sekadar dari sudut pasaran, tetapi sebagai jaringan keselamatan ketika krisis melanda.
Ekosistem yang saling melengkapi
Dalam keseluruhan ekosistem beras, import, tempatan dan sokongan institusi bukanlah elemen bersaing, sebaliknya saling melengkapi.
Keseimbangan inilah yang memastikan beras kekal berada di pasaran, harga tidak melonjak mendadak dan pesawah terus mampu bertahan.
Dalam konteks ini, peranan BERNAS wajar dilihat sebagai sebahagian arkitek keterjaminan makanan negara iaitu satu fungsi yang mungkin kurang disedari ketika keadaan stabil, tetapi menjadi amat kritikal apabila sistem berdepan tekanan.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian