SHAH ALAM - Chai Jin Shern bersedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung perjanjian dengan sebuah syarikat asing yang bernilai RM1.1 bilion.
Jin Shern atau dikenali sebagai James Chai yang juga bekas pembantu bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, peguamnya akan menghubungi SPRM untuk menjadualkan sesi memberi keterangan.
"Peguam-peguam saya akan menghubungi SPRM untuk menjadualkan sesi yang dinyatakan di atas bagi memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan saksama.
"Saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM selari dengan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan menggesa James untuk pulang ke Malaysia dan segera hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut SPRM, beberapa percubaan telah dibuat oleh pegawai penyiasat untuk menghubungi lelaki itu dan sehingga kini masih belum memberikan sebarang respons.
Menurut James, beliau mengetahui niat SPRM untuk merakam kenyataannya selepas Notis Kesan Individu dikeluarkan pada Rabu lalu.
"Sejak itu, saya telah melantik dua orang peguam berpengalaman yang akan membantu saya berhubung dengan SPRM dan perkara-perkara lain dalam kes ini.
"Saya telah menunggu notis rasmi daripada SPRM supaya dapat menjadualkan sesi untuk saya memberikan kenyataan yang diperlukan bagi siasatan penuh kes berkaitan," katanya lagi.
Berhubung penyampaian notis, James menjelaskan beliau telah menerima dua mesej WhatsApp berasingan daripada nombor-nombor yang mewakili SPRM pada Khamis untuk memberi keterangan.
Katanya, mesej berkenaan merupakan kali pertama diterima daripada mana-mana saluran yang mewakili SPRM.
"Sebelum ini, saya tidak menerima sebarang bentuk komunikasi dengan sebutan jelas tentang SPRM mahupun sebarang bentuk notis rasmi.
"Adalah kebiasaan untuk saya menyekat banyak nombor yang mencurigakan atau tidak diketahui, dengan nama-nama pengguna seperti ‘~Ghuuu’, ‘Lii Ya’, ‘~Muhmmad Alif Z ’, ‘~Mryana Zaa’ dan sebagainya.
"Hal itu memandangkan kejadian penipuan siber yang tinggi di Malaysia terutama yang melibatkan penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa," katanya.
Media melaporkan, SPRM mengesahkan telah memanggil seorang bekas menteri kanan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan mega semi konduktor bernilai RM1.11 bilion.
Bekas menteri itu adalah antara 12 individu yang telah dipanggil SPRM setakat ini untuk dirakam keterangan dan percakapan.
Susulan itu, SPRM turut mengeluarkan notis sedang mengesan James bagi membantu siasatan.