KUALA LUMPUR – Kumpulan Suria KLCC mengajak orang ramai menyelami keindahan warisan dan seni budaya Malaysia menerusi kempen sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dari 27 Februari hingga 5 April 2026 di sekitar Presint KLCC.
Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Pengerusi Suria KLCC, Datuk Mohd Salem Kailany; Ketua Pegawai Kewangan Suria KLCC, Penny Chua; Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan; Pengurus Besar Suria KLCC, Ameer Thajudeen dan Pengasas Sofia Iman, Faralina Abdul Wahab pada Selasa.
Kempen tersebut menampilkan pelbagai pengalaman budaya termasuk taman bougainvillea bertemakan wakaf Melayu tradisional, demonstrasi kraf warisan serta tayangan filem jenama khas bertajuk Penjaga Warisan.
Francis berkata, melalui kolaborasi bersama jenama warisan tempatan, Sofia Iman, kempen itu bukan sekadar mempamerkan warisan, malah turut memeliharanya untuk generasi akan datang.
“Pada Hari Raya ini, melalui kolaborasi bersama Sofia Iman dan naratif Penjaga Warisan, kami bukan sekadar mempamerkan warisan malah memeliharanya.
“Sempena sambutan Visit Malaysia 2026, kami bangga memainkan peranan dalam mempamerkan jiwa budaya Malaysia kepada dunia serta menjadikan Presint KLCC sebagai titik sentuh utama bagi pelancong antarabangsa merasai keaslian warisan negara,” katanya.
Sementara itu Faralina berkata, penyertaan jenama tersebut dalam kempen berkenaan merupakan usaha berterusan untuk mengangkat seni tekstil tradisional seperti batik dan songket ke arus moden.
“Apa yang dipamerkan hari ini adalah kemuncak dedikasi selama bertahun-tahun dalam mengekalkan akar budaya. Kehadiran Sofia Iman di Suria KLCC membuktikan pelanggan menghargai interpretasi moden songket dan batik yang boleh digayakan dalam kehidupan seharian.
“Ia juga memberi peluang kepada kami untuk berkongsi kisah di sebalik setiap karya sambil menghargai artisan tempatan yang menjadi tulang belakang warisan ini,” katanya.
Di Suria KLCC, ruang Centre Court dan Esplanade KLCC dihiasi taman bougainvillea dengan struktur wakaf Melayu sebagai tarikan utama sambutan tahun ini.
Dekorasi berkenaan turut menampilkan karya seni batik cap tangan sepanjang 1,710 meter yang dihasilkan khas oleh Sofia Iman bagi menghiasi ruang perayaan termasuk struktur wakaf dan kawasan Esplanade KLCC.
Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi tenunan songket khas oleh penenun dari Terengganu yang mempamerkan proses penghasilan tekstil tradisional menggunakan alat tenun atau ‘kek’.
Kempen berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti warisan seperti permainan tradisional congkak dan batu seremban, persembahan gamelan secara langsung, tarian zapin serta bengkel interaktif termasuk mencanting batik, gubahan bunga raya dan sesi padanan wangian.
Tumpuan utama sambutan itu ialah tayangan filem jenama bertajuk Penjaga Warisan yang menampilkan kisah hubungan antara kehidupan moden bandar dan tradisi warisan Terengganu melalui pendekatan dokumentari.
Selain Suria KLCC, pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya dan Mesra Mall di Terengganu di bawah Kumpulan Suria KLCC turut menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan serta menawarkan ganjaran perayaan kepada pengunjung sepanjang tempoh kempen Aidilfitri berkenaan.