Ah long letak kepala babi depan rumah, kedai

Iklan
Alzafny

SEREMBAN - Dua lelaki terkejut apabila menemui kepala babi diletakkan di hadapan rumah dan kedai mereka pada Khamis.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian di Kuala Pilah dan Tampin itu berlaku sekitar jam 1 pagi.

Iklan
Iklan

"Polis menerima dua laporan berkaitan kes meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di Pekan Tampin.

"Mangsa dalam kejadian merupakan dua lelaki yang mempunyai pertalian antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua kejadian mempunyai kaitan dan bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Tambahnya, kejadian itu bukannya bersifat kebencian terhadap agama oleh mana-mana individu, tetapi disyaki bagi memberi tekanan kepada mangsa untuk melunaskan bayaran hutang ah long.

Iklan

Jelas beliau, suspek dipercayai merupakan individu sama yang pernah menyimbah cat di kedai tersebut sebelum ini.

"Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan bagi membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

"Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan kenyataan tidak benar berkaitan isu ini," katanya.

 

 

Ends...