KOTA BHARU – Masjid As-Siddiqin, Mukim Panchor, Pengkalan Chepa di sini dipilih sebagai lokasi utama bacaan serentak sempena World #QuranHour (WQH) 2026 bagi negeri Kelantan yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mac ini.
Pengerusi Masjid As-Siddiqin Mukim Panchor, Azmi Mat Nor berkata, pemilihan masjid itu sebagai pusat tumpuan program disifatkan sebagai satu penghormatan besar kepada kariah setempat, apatah lagi program diadakan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Alhamdulillah, kami berbesar hati dan bersyukur kerana masjid ini dipilih sebagai lokasi utama.
“Penganjuran ini bukan sahaja akan menghimpunkan masyarakat setempat, malah membuka ruang kepada umat Islam untuk bersama-sama mengimarahkan rumah Allah dengan bacaan dan penghayatan al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau yang juga imam tua, pihak masjid sudah membuat persiapan rapi termasuk penyelarasan ruang solat utama dan kawasan parkir bagi memastikan kelancaran program.
Katanya, kawasan parkir masjid mampu menampung kira-kira 100 hingga 200 kenderaan pada satu-satu masa, selain terdapat kawasan tambahan di sekitar masjid yang boleh digunakan sekiranya jumlah kehadiran meningkat.
“Masjid ini mampu menampung lebih 2,000 jemaah pada satu-satu masa dan kami menjangkakan kehadiran yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam serta penduduk sekitar.
“Kemudahan asas seperti 25 tandas, ruang wuduk dan sistem audio juga berada dalam keadaan baik untuk menampung program berskala besar ini,” jelasnya.
Beliau menambah, program seumpama itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform menyatukan masyarakat melalui penghayatan al-Quran sekali gus mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat.
“Datanglah beramai-ramai dan harapan kami agar kehadiran itu menjadi titik permulaan untuk masyarakat terus mendekati serta memahami al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.