KUANTAN - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang disyaki terlibat dalam insiden memijak al-Quran serta menyebarkan gambar perbuatan itu melalui media sosial akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Lelaki berusia 21 tahun itu dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan sekitar jam 8 pagi dan akan didakwa atas dua pertuduhan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam memaklumkan pelajar terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia suatu penghinaan terhadap Islam.
Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pelajar itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 25 Februari lepas, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebanyak 82 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung isu berkenaan dan hasil siasatan yang dijalankan mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap individu terbabit.
Kes berkenaan telah mendapat perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi berikutan sensitiviti isu yang menyentuh kesucian agama dan keharmonian masyarakat. - Bernama