Muhyiddin dedah Hamzah runding kerjasama dengan Zahid

Iklan
Muhyiddin

PETALING JAYA - Gerakan dalaman untuk merosakkan dan memecah-belahkan parti yang didakwa dilakukan oleh bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi antara punca utama pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Hamzah juga didakwa individu yang bertanggungjawab mengadakan pertemuan secara senyap dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan rundingan tanpa pengetahuan serta kebenaran parti.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, terdapat banyak kesalahan lain yang dilakukan sehingga Lembaga Disiplin parti terpaksa mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan masalah itu daripada terus berlaku.

“Kesalahan dia banyak, bertimbun sebab tu dibawa ke Lembaga Disiplin, setahu saya. Saya fikir tak wajar nak pergi teliti (beritahu) satu persatu sebab sudah ada keputusan, atas asas yang kukuh kenapa tindakan tu diambil.

Iklan

“Kalau saya nak jelaskan, contoh satu bila Datuk Zahid Hamidi dalam satu perhimpunan pernah buat kenyataan bahawa dia sudah berjumpa dan berunding dengan Pas dan Bersatu. Ada yang kaitkannya Bangkok Move or something like that.

“Dalam kumpulan chat tu saya tanya: Who meet Zahid? Siapa jumpa Zahid? Siapa jumpa? Tak terjawab tapi saya ada maklumat yang sahih, Hamzah jumpa Zahid. Dalam parti kita ni, ada disiplin, ini isu besar,” katanya dalam wawancara khas bersama media tempatan di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Isnin.

Iklan

Tambah Muhyiddin, isu pemecatan Hamzah dan beberapa pemimpin Bersatu yang lain bukanlah soal mempersoalkan kepimpinannya tapi ia lebih besar.

Jelasnya, ia menyentuh isu-isu berkaitan perlembagaan parti, menimbulkan keadaan ketidaktenteraman dalam parti, soal merenggangkan hubungan antara pimpinan di peringkat tertinggi hingga ke akar umbi serta gerakan-gerakan yang agak terancam.

“Dia tak boleh pergi memandai-mandai ikut kepala siapa sekalipun atau tujuan apa, tanpa ada mandat dan tak ada kebenaran ataupun tidak diluluskan oleh majoriti. Memandai-mandai nak pergi untuk apa?

“Kalau untuk kebaikan, beritahu kepada saya sebagai Presiden tak? Ini bukan perkara kecil.

“Rupanya dia ada perancangan nak bentuk gabungan, dia jadi DPM (Timbalan Perdana Menteri), yang ni jadi PM, tak tahulah macam-macam cerita.

“Ini boleh main-main ke? That one particular thing alone is a very serious matter, tak usahlah campur yang lain-lain lagi. Minta maaflah, saya tak boleh jelaskan tapi sebabnya munasabah dan pihak lembaga disiplin dah bertindak atas dasar maklumat yang dia dapat,” jelasnya.