DNeX, MARA jalin kerjasama strategik pacu transformasi digital berasaskan AI

Iklan
DNeX dan MARA tandatangani MoU sebagai usaha kerjasama strategik bagi memperkasa transformasi digital organisasi MARA menerusi penggunaan teknologi AI. Gambar kecil: Marlishiraz

SHAH ALAM - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa transformasi digital organisasi MARA menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Marlishiraz Ramli berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang mewujudkan rangka kerja kolaboratif bagi melaksanakan inisiatif berimpak tinggi melibatkan kedua-dua pihak.

Iklan
Iklan

“MoU berkenaan merangkumi pembangunan bakat dalaman MARA yang bersedia menghadapi masa depan melalui pemerkasaan transformasi dan inovasi, mempercepat keupayaan keusahawanan digital berasaskan AI serta pembangunan platform digital generasi baharu.

“Di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memberi keutamaan kepada pembangunan bakat dan pemerkasaan inovasi dengan memanfaatkan teknologi AI terkini bagi memastikan ekosistem pendidikan berdaya tahan dalam melahirkan tenaga kerja celik digital,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, melalui penggunaan teknologi bertaraf perusahaan, DNeX dan MARA merancang pembangunan rangka kerja peningkatan kemahiran berasaskan AI bagi memupuk budaya permulaan perniagaan berteraskan inovasi.

“Pendekatan itu menggabungkan pembangunan keupayaan dengan platform digital canggih bagi membantu usahawan MARA menjadikan AI sebagai kelebihan daya saing utama sekali gus meningkatkan daya tahan pasaran dan memperkukuh daya saing perniagaan.

Iklan

“Program tersebut turut menyediakan khidmat nasihat strategik, platform berasaskan AI serta bimbingan berstruktur bagi membolehkan usahawan mencapai pertumbuhan pesat dan inovasi mampan,” jelasnya.

Marlishiraz berkata, MoU berkenaan turut menggariskan perancangan pembangunan Hab Kecerdasan Data Bersepadu menerusi ekosistem digital berpusat yang berteraskan AI, bertujuan menyelaraskan aset data MARA.

“Platform berkenaan yang dibangunkan menggunakan teknologi integrasi dan analitik maju dijangka menjadi enjin utama kepada transformasi digital MARA dengan meningkatkan akses data, penyatuan rentas fungsi serta kecekapan operasi organisasi.

“Kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat memanfaatkan kepakaran teknologi digital dan kecerdasan buatan bagi memperkukuh keupayaan dalaman di samping menyokong pembangunan bakat negara serta pertumbuhan keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, kolaborasi itu dijangka mengukuhkan kedudukan strategik DNeX melalui akses kepada segmen pasaran baharu menerusi program bersama yang menyokong syarikat pemula niaga, usahawan serta ekosistem inovasi negara.

“Selain itu, integrasi penyelesaian berasaskan AI dan platform digital maju turut selari dengan inisiatif pendigitalan dan teknologi pintar DNeX secara keseluruhan.

“Pada masa sama, kerjasama tersebut mengukuhkan peranan DNeX sebagai rakan strategik kepada institusi berkaitan kerajaan seperti MARA sekali gus meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan syarikat dalam agenda inovasi serta pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.