KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Wang khairat kematian sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berjumlah lebih RM52,000 akan digunakan oleh ahli keluarga untuk menunaikan impian pempengaruh media sosial, Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah melunaskan hasrat Allahyarham mengerjakan badal umrah serta haji.
Rambo Castello yang merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat serangan jantung di Yogyakarta, Indonesia pada 17 Oktober lalu.
Anak bongsunya, Norfadzliana Ahmad Radzli, 23, berkata, Allahyarham bapanya ada berniat untuk menunaikan umrah dan haji bersama ibu, Asiah Abdullah, 56, selepas dia bersara pada April ini.
"Arwah sebelum ini pun ada menyatakan hasrat untuk mengerjakan umrah selepas selesai majlis konvokesyen saya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru pada November ini.
"Jadi, kami sekeluarga mahu melunaskan hasrat arwah dengan mengerjakan badal umrah dan haji dengan duit khairat kematian YGMB," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Skim Sejahtera dan Skim Kasih Warga Pendidik YGMB di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad menyampaikan sumbangan khairat kematian YGMB kepada Norfadzliana dan Asiah.
Allahyarham Ahmad Radzli menyertai skim YGMB pada Ogos 2024 sekali gus melayakkan ahli keluarganya menerima khairat kematian berjumlah lebih RM52,000.
Menurut Norfadzliana, wang khairat itu juga akan digunakan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya selain beberapa keperluan lain yang perlu diselesaikan.
Ujarnya, selain itu sumbangan tersebut juga dapat meringankan beban ibunya yang merupakan seorang suri rumah.
Dalam perkembangan sama, dia memberitahu pada Ramadan ini perkara paling dirindui ialah solat tarawih bersama Allahyarham yang merupakan seorang imam di surau Kampung Wakaf Zing, Jeli.
"Setiap kali bulan puasa, sejak hampir 20 tahun lalu abah ialah imam tarawih di surau tersebut.
"Selepas ketiadaannya, surau tersebut sudah tidak lagi membuat solat sunat di situ dan ia sangat menyedihkan kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sumbangan khairat kematian yang disalurkan kepada keluarga Allahyaryam Ahmad Radzli sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan sambutan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
Menurut beliau, arwah juga merupakan Ahli Skim Emas YGMB dan keluarganya layak untuk menerima sumbangan khairat kematian tersebut.